Negara

22 cedera mercun rai Deepavali meletup

KULIM: Seramai 22 orang awam cedera termasuk seorang lelaki mengalami kecederaan serius pada dahi dalam insiden letupan akibat pembakaran mercun di Paya Besar dekat sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan, berkata kejadian berlaku pada 12.45 tengah malam dan disedari anggota membuat rondaan pencegahan jenayah yang melihat kesesakan lalu lintas dengan kehadiran orang ramai di tepi jalan Paya Besar.

Beliau berkata, petugas bilik kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menerima maklumat daripada Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) yang pada masa itu sedang melakukan rondaan operasi pencegahan jenayah memaklumkan kesesakan lalu lintas akibat daripada kehadiran orang ramai di kawasan terbabit.

“Bilik kawalan kemudian meminta bantuan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) untuk bantuan kesesakan.

“Apabila pasukan bantuan sampai di tempat kejadian didapati orang ramai berkumpul dan terdapat sebahagian orang ramai yang cedera akibat mercun yang dibakar meletup.

“Berikutan itu, dua ambulans sampai ke tempat kejadian dan memberi bantuan awal kepada seorang pesakit yang didapati luka di kepala manakala yang lain mengalami luka kecil akibat terkena belerang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkifli berkata, anggota polis berjaya mengawal keadaan lalu lintas dan orang ramai bersurai selepas ambulans membawa pesakit ke Hospital Kulim.

Beliau berkata, pegawai penyiasat polis kemudian pergi ke Hospital Kulim dan menemui semua mangsa seramai 22 mangsa.

“Bagaimanapun, hanya seorang mangsa lelaki mengalami kecederaan serius di dahi iaitu luka kira-kira lima sentimeter manakala mangsa yang lain hanya luka kecil terkena belerang di badan dan tangan.

Zulkifli berkata, tempat kejadian itu dapat dikawal oleh MPV dan Trafik kira-kira jam 1.30 pagi.

“Pasukan bantuan daripada pasukan operasi cegah jenayah juga membantu menyuraikan kesesakan. Bagaimanapun setakat ini tiada tangkapan dilakukan berhubung kejadian itu.
– Berita Harian

Related Posts