KUALA LUMPUR: Ramai peniaga kecil cuba mencari rezeki setiap kali menjelang musim perayaan, tambahan pula dalam keadaan tekanan kos sara hidup dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, adalah tidak wajar kekasaran digunakan oleh pihak penguat kuasa ke atas seorang penjaja tepi jalan yang kesalahannya hanyalah menjual belon.
“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah lebih prihatin, peka dan berhemah. Cubalah cari jalan untuk memudahkan peniaga-peniaga kecil mencari rezeki di musim-musim perayaan tertentu.
“Lesen-lesen sementara boleh dikeluarkan untuk membolehkan mereka berniaga di tempat-tempat tertentu untuk suatu tempoh yang terhad.
“Semasa pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional, Kementerian Wilayah Persekutuan telah melaksanakan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga dengan mengeluarkan lesen-lesen sementara kepada para penjaja.
“Bagi suatu tempoh tertentu untuk memudahkan penjaja kecil menjalankan perniagaan di Wilayah Persekutuan. Inisiatif ini dilaksanakan untuk meringankan beban rakyat yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh, konsep yang sama boleh digunakan oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat yang sedang dihimpit oleh kenaikan kos sara hidup pada masa ini.
“Dengan adanya kebenaran berniaga secara sementara ini, bolehlah rakyat menambah pendapatan untuk menyara hidup, yang penting ialah sikap prihatin kerajaan dalam membantu rakyat.
“Bila kerajaan prihatin, langkah-langkah tentu boleh diambil untuk memenuhi keperluan rakyat tanpa perlu mereka melanggar undang-undang untuk mencari rezeki sesuap nasi.
“Saya berharap insiden malang seperti ini tidak berulang lagi,” katanya. – Harakahdaily
Lebih 1 juta kenderaan perantau sudah masuk ke Kelantan
KOTA BHARU: Dianggarkan lebih 1 juta kenderaan perantau sudah memasuki Kelantan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, semua kenderaan itu masuk ke negeri ini melalui tiga pintu utama iaitu Jeli, Pasir Puteh dan Gua Musang.
Katanya, sehubungan itu, seramai 128 pegawai dan anggota ditugaskan selama 24 jam di lokasi dikenal pasti sebagai ‘blackspot’ dan ‘hot spot’ kemalangan di seluruh negeri.
“Sebanyak 66 kawasan ‘blackspot’ dan 42 ‘hot spot’ kerap berlaku kemalangan dan kesesakan jalan telah dikenal pasti.
“Kawasan terlibat adalah Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dan Jalan Gua Musang-Jeli,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni petugas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di persimpangan lampu isyrat Jalan Wakaf Siku di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, anggota yang bertugas menerusi skuad khas akan melakukan rondaan menggunakan motosikal sepanjang musim perayaan untuk memastikan kelancaran aliran trafik.
Katanya, pegawai dan anggota itu akan bertugas di seluruh Kelantan bermula pagi sehingga pukul 10 malam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Jabatan Pengangkutan Jalan Kelantan menganggarkan sebanyak dua juta kenderaan akan masuk ke negeri ini sempena sambutan Aidilfitri.
Jumpah itu berpandukan kepada statistik yang telah direkodkan pada tahun-tahun sebelum ini. – Kosmo