Negara

Jangan lindungi, tutup kes buli di sekolah – PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mengingatkan pihak sekolah dan ibu bapa supaya memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menangani kes buli di institusi pendidikan serta tidak melindungi pelaku atas alasan ingin menjaga imej sekolah.

Beliau berkata sikap sesetengah pentadbir sekolah yang cuba menutup kes buli kerana menganggapnya kecil atau tidak serius hanya akan menyebabkan masalah itu menjadi lebih besar pada masa hadapan.

“Peringatan kepada sekolah, jangan melindungi walaupun kes buli kecil, ia tetap jenayah… bukan semua perkara boleh dianggap kesalahan ringan dan bagi guru pula yang mungkin masih berpegang kepada pendekatan pendidikan lama, kita terdidik dalam sistem itu.

“Janganlah sampai memukul atau menghentak kepala pelajar sehingga menyebabkan luka… namun, bagi guru untuk menegur, memberi nasihat atau mengambil tindakan ringan sedikit, itu boleh diterima,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus PPAM Seruling, Presint 5 di sini pada Jumaat. 

Anwar juga berkata golongan hak asasi atau liberal berpandangan keterlaluan apabila tidak membenarkan sebarang tindakan diambil oleh para guru namun apabila timbul masalah disiplin, kelonggaran itu diperlukan tetapi mestilah dengan syarat-syarat yang ketat.

Terdahulu, Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 500 jemaah selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri.

Ketibaan beliau, yang lengkap berbaju Melayu dan bersamping warna biru muda serta bersongkok, disambut mesra oleh pengurusan masjid, para jemaah serta pelajar sekolah.

Solat Jumaat itu dipimpin oleh imam Ustaz Ahmad Jalaluddin Al-Islami Mohshin dan Anwar turut mendengar khutbah bertajuk “Masjid Nadi Penyatuan Ummah”. – Sinar Harian

Related Posts