Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Seramai 370 pasangan di seluruh negara telah menerima manfaat daripada program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) yang dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bermula 1 Jan hingga 31 Mac lalu.
Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga LPPKN, Rosmonaliza Abdul Ghani berkata, pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6 juta untuk pelaksanaan program BuAI yang melibatkan 1,300 pasangan.
Beliau berkata, pasangan yang layak akan dibiayai untuk menjalani maksimum dua kitaran rawatan kesuburan Intrauterine Insemination (IUI) di klinik subfertiliti LPPKN iaitu di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.
“Setakat ini, sebanyak 17 peratus atau 63 pasangan telah berjaya hamil selepas mendapat rawatan IUI.
“Pasangan yang telah berkahwin selama enam bulan ke atas, namun belum menunjukkan tanda-tanda hamil boleh terus memohon untuk program BuAI..tidak perlu menunggu lama,” katanya pada Karnival Sentuhan Kasih Ibu Sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Terengganu 2025, di sini hari ini.

Pelbagai program diadakan sempena sambutan tersebut termasuk peraduan mewarna ibu dan anak, pertandingan mum make over, slot ceramah pemakanan dan taklimat bantuan rawatan kesuburan dan advokasi infertiliti.
Rosmonaliza berkata, selain program BuAI, LPPKN juga giat melaksanakan empat program lain bagi memperkasa wanita dan ibu di negara ini.
Ia termasuk Program Kasih Ibu Tunggal (PROKIT), Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (IKIT), Mamacare san Program Wanita Bangkit serta 2 Years Exit Programme, Gig@bit dan Volvo Iron Women.
“Program ini memberi ruang kepada wanita khususnya ibu tunggal yang tidak bekerja mendapatkan latihan dan peluang pekerjaan sesuai.
“Dalam aspek kesejahteraan pula, LPPKN menyediakan pelbagai program keibubapaan, khidmat kaunseling dan terapi minda serta saringan kesihatan termasuk HPV DNA dan subsidi mamogram,” katanya. – Suara Timur