KUALA TERENGGANU: Kejohanan sukan pelayaran tahunan, Terengganu Sail Cup (T-Sail Cup) 2026 kembali membuka tirai dengan penyertaan lebih besar apabila menghimpunkan 101 pelayar dari seluruh negara untuk berentap di perairan Laut China Selatan.
Memasuki edisi keempat penganjuran sejak diperkenalkan pada 2023, siri pertama musim ini mempertandingkan lima kategori utama melibatkan bot Optimist, ILCA 4, ILCA 6, ILCA 7, INT 420, INT 470 serta luncur angin (windsurfing).
Pengarah pertandingan, Abdul Rani Idris berkata kebanyakan pasukan yang mengambil bahagian kini berada dalam fasa persiapan ke temasya SUKMA Selangor 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Ogos nanti.

“Justeru, kejohanan ini dilihat sebagai peluang terakhir buat pasukan menguji keupayaan serta menilai prestasi masing-masing sebelum beraksi di pentas lebih besar.
“Lebih menarik, kategori INT 470 yang sekian lama tidak dipertandingkan kini kembali, sekali gus memberi nafas baharu kepada perkembangan sukan pelayaran tempatan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau turut menjelaskan, faktor cuaca selepas musim tengkujuh serta cabaran angin dan arus Laut China Selatan menambah elemen kesukaran, sekali gus menjadikan kejohanan ini medan ujian sebenar buat para pelayar.
T-Sail Cup dijadualkan berlangsung dalam empat siri sepanjang tahun, dengan siri pertama kali ini membabitkan lima hari perlumbaan dan akan melabuhkan tirai pada 5 April.
Kejohanan itu terus menjadi platform penting dalam pembangunan bakat pelayaran negara, selain medan pemilihan dan persediaan atlet ke kejohanan lebih kompetitif di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. – Suara Timur
