Sukan

Sri Pahang akhirnya ucap selamat tinggal

KUALA LUMPUR: Kelab gergasi Pantai Timur, Sri Pahang FC akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super selepas sah tidak akan bertanding dalam kancah bola sepak profesional musim depan.

Perkembangan itu diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas skuad Tok Gajah yang menerima lesen kebangsaan 2025-26 memutuskan untuk tidak bertanding dengan mengemukakan surat pengesahan bertarikh 16 Jun.

Ini menyaksikan sebanyak 13 pasukan beraksi dalam musim baharu Liga Super yang bermula pada 8 Ogos.

“Senarai kelab yang akan beraksi merebut kejuaraan kali ini adalah Johor Darul Ta’zim FC, Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Kelantan Darul Naim FC, Kuala Lumpur City FC, PDRM FC dan DPMM FC serta dua kelab daripada AFL A1 iaitu Melaka FC dan Imigresen FC.

“Semua kelab ini diberikan lesen kebangsaan 2025-26 oleh badan bebas First Instance Body (FIB) dengan kelab dari Brunei, DPMM FC diberikan kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk bertanding dalam Liga M.

“Semua kelab ini diberikan lesen kebangsaan 2025-26 oleh badan bebas First Instance Body (FIB) dengan kelab dari Brunei, DPMM FC diberikan kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk bertanding dalam Liga M.

“Dengan pengesahan 13 kelab ini, MFL menjangkakan satu lagi musim baharu yang menarik bakal disajikan buat penyokong tanah air apatah lagi dengan kemunculan semula DPMM FC dalam kancah bola sepak tempatan selain cabaran dua kelab AFL A1, Melaka FC dan Imigresen FC,” menurut MFL dalam satu kenyataan.

Kalendar Liga M musim ini akan bermula dengan pertembungan juara Liga Super, JDT dengan naib juara Liga Super, Selangor FC pada aksi Perisai Sumbangsih pada 8 Ogos yang juga perlawanan pembuka tirai liga di Stadium Sultan Ibrahim.

Manakala pertandingan Piala FA pula akan bermula pada pertengahan Ogos ini dengan Piala Malaysia dan Piala Cabaran pula pada Januari 2025.

“Saingan Liga M 2025 dijangka berlangsung selama 10 bulan selepas selesai proses transisi musim lalu yang menyaksikan kelab mengharungi tempoh musim panjang selama 14 bulan bagi menyelaras kalendar Liga M selari dengan liga utama luar negara.

“MFL akan mengeluarkan jadual Liga M 2025-26 dalam masa terdekat yang mana MFL berdepan kekangan untuk melengkapkan jadual penuh semusim memandangkan AFC hanya akan mengadakan undian pertandingan Liga Juara-Juara Asia Elit dan Liga Juara-Juara Asia 2 pada 15 Ogos,” kata MFL. – Berita Harian

Related Posts