PETALING JAYA – ‘Jangan sampai tersasar niat.’
Itu peringatan abang kepada Allahyarham Nurly Shahirah Azman, 23, salah seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas di Gerik, Perak, 9 Jun lalu, terhadap segelintir individu yang menziarahi pusara adiknya.
Mohd Najmuddin Azman, 28, menegaskan, tindakan mencium al-Quran yang ditulis semula Allahyarham boleh menimbulkan kekeliruan dalam akidah, walaupun mungkin niat asal hanya untuk mengambil berkat.
“Kami tidak melarang orang ramai datang ziarah kubur adik saya atau ambil gambar al-Quran yang dia tulis. Tapi elakkan daripada menciumnya kerana bimbang niat asal boleh terpesong,” katanya menerusi satu klip video yang tular di media sosial.
Sementara itu, menerusi satu perkongsian oleh Ahmad Nazrul mengesahkan tali sudahpun dipasang mengelilingi pusara arwah Nurly dan melarang sebarang individu daripada melepasi penghalang tersebut.
“Tali pengadang telah siap dipasang di sekitar kubur Nurly, dipasang sendiri oleh ahli keluarganya.
“Sesiapapun tidak dibenarkan melintasi tali pengadang ini,” tulisnya pada hantaran tersebut.
Difahamkan, tindakan itu diambil oleh ahli keluarga sebagai langkah berjaga-jaga selepas segelintir individu dilihat melakukan perbuatan yang dianggap berlebihan.
Antaranya, termasuk mencium al-Quran milik arwah sekali gus menimbulkan keresahan keluarga.
Dia turut menjelaskan bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan kepada individu yang melakukan kemudaratan terhadap pusara berkenaan selain bertekad menjalankan rondaan pada waktu malam dari masa ke semasa.
“Pihak pejabat agama daerah Besut akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang melakukan sebarang perbuatan yang tidak sepatutnya di kawasan kubur ini. Rondaan malam juga akan dilakukan dari masa ke semasa,” tambahnya.
Tinjauan Kosmo! mendapati ramai netizen menyokong langkah keluarga arwah, selain menyeru orang ramai agar tidak terlalu taksub ketika menziarahi pusara.
“Rasanya memang tak salah untuk kita cium al-Quran tetapi apabila orang ramai datang cium secara berjemaah macam ini, itu yang buat orang risau terpesong akidah,” kata Gkhai.
“Cium kitab suci kita ini memang tiada masalah tetapi janganlah sampai taksub ye. Kalau arwah tengok pun dia tak selesa. Cukup sekadar ambil ibrah dari peristiwa ini,” ujar Diana Natrah.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan,
kubur pelajar UPSI itu tidak putus dikunjungi orang ramai, malah rumah keluarga arwah juga menjadi tumpuan pengunjung berziarah.
Sebelum ini, Kosmo! turut melaporkan seramai 15 pelajar UPSI maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar universiti itu dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak, 9 Jun lalu.
Selain Nurly Shahirah, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 1.10 pagi itu turut meragut nyawa 14 orang penuntut universiti berkenaan. – Kosmo
Himpunan Rakyat Benci Rasuah bertukar tegang
KUALA LUMPUR – Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang berlangsung berhampiran Dataran Merdeka pada Sabtu bertukar tegang apabila polis cuba mententeramkan seorang individu yang dipercayai bertindak membakar suar berwarna jingga.
Tindakan polis yang cuba membawa lelaki tersebut keluar dari kawasan perhimpunan telah mencetuskan kemarahan sebilangan besar peserta perhimpunan yang terdiri daripada kumpulan mahasiswa.
Individu terbabit cuba meronta untuk melepaskan diri, sebelum disokong oleh beberapa peserta lain yang tampil membantu.
Ekoran kejadian itu, pemuda berkenaan mendakwa bajunya telah ditarik dan terkoyak dalam insiden tersebut.
Insiden itu turut mendorong kumpulan mahasiswa untuk menuntut agar anggota polis yang cuba menahan pemuda tersebut tampil bertanggungjawab.
Mereka mendesak supaya pihak polis mendedahkan nama dan nombor badan anggota terbabit, dan enggan bersurai selagi perkara itu tidak dipenuhi.
Polis akhirnya akur dan menyatakan nama serta nombor badan anggota berkenaan.
Perhimpunan tersebut berakhir lewat petang sekitar jam 6 petang. – Sinar Harian