Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Operasi pembersihan Pantai Teluk Kalong, di sini yang dicemari arang batu susulan sebuah tongkang pecah telah mula dijalankan sejak semalam.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Terengganu, Hamzah Mohamad berkata, kerja-kerja pembersihan di sepanjang 1.2 kilometer pantai itu dilakukan kontraktor yang dilantik syarikat tongkang tersebut.
“Kerja-kerja ini dijangka mengambil sedikit masa memandangkan sebahagian arang batu telah dibawa arus dan berada di dasar laut.

“Bagaimanapun anggota JAS akan terus membuat pemantauan operasi pembersihan tersebut,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Suara Timur mendapati pihak kontraktor menggunakan sebuah jengkaut dan mereka juga turut menggunakan kaedah manual dengan menggunakan penyodok dibantu 14 pekerja sebelum bahan api yang dikutip itu kemudiannya akan diisi ke dalam guni besar.
Sebelum ini media melaporkan, JAS menerima laporan berhubung pantai yang dicemari arang batu itu pada 11 Januari lalu.
Tongkang muatan arang batu tersebut sedang dalam perjalanan dari Indonesia ke Vietnam, terkandas di pantai ini akibat tiupan angin yang kuat. – Suara Timur
