Negeri

30,000 dijangka sertai Musim Candat Sotong Terengganu 2025

KUALA LUMPUR: Musim Candat Sotong Terengganu 2025 yang bermula April hingga Ogos tahun ini dijangka menarik kira-kira 30,000 orang termasuk pelancong luar negara seperti Singapura, Filipina, Thailand dan China.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Datuk Razali Idris berkata, ia membabitkan lebih 3,000 bot yang dijangka membanjiri perairan negeri Terengganu sepanjang tempoh berkenaan.

Menurutnya, musim candat sotong adalah program pelancongan marin negeri Terengganu yang dinanti-nantikan bukan sahaja oleh pemancing tempatan malah dari luar negara termasuk Singapura, Filipina, Thailand dan China.

“Pelancaran rasmi akan diadakan jam 3.15 petang Jumaat ini dengan tema Pakat Maghi Candat Sotong di Jeti Pelancongan Marang.

“Pada masa sama, kita akan mengadakan Karnival Pakat Maghi Candat Sotong pada 8 hingga 11 Mei di kawasan tempat letak kereta Jeti Pelancongan Marang bagi memeriahkan lagi penganjuran pesta candat sotong tahun ini.

“Kehadiran mereka ini akan memberi pulangan ekonomi melebihi RM7.5 juta kepada pengusaha bot, nelayan, pengusaha inap desa dan industri makanan laut,” katanya.

Beliau berkata pada prapelancaran Program Musim Candat Sotong Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Tambah Razali, pihaknya sedang berunding dengan Jabatan Perikanan bagi mendapatkan permit khas mencandat sotong bagi lebih 3,000 nelayan yang tidak memiliki lesen perikanan rekreasi (sport fishing).

Katanya, ia bagi membolehkan pengusaha bot dan nelayan kecil dan pesisir pantai memperoleh pendapatan sampingan untuk menyara keluarga.

“Kita sudah buat sesi libat urus dengan Jabatan Perikanan, Jabatan Laut dan beberapa agensi berkaitan dari tahun lalu untuk bantu nelayan kecil mendapatkan permit mencandat sotong.

“Sepatutnya tahun ini sudah dapat tetapi oleh kerana ia berkaitan dengan insurans, isu keselamatan pelancong, bot dan beberapa perkara lagi, kita masih perlu berunding,” katanya. – Metro

Related Posts