Negeri

Petani agih hasil kebun bantu asnaf

TUMPAT: Seorang petani memanfaatkan semua hasil jualan tanaman yang diusahakan di kebun seluas 0.2 hektar di Kampung Pasir Pekan Tengah di sini, untuk membantu asnaf.

Wan Zahari Wan Othman, 55, menanam pelbagai tanaman seperti pisang, serai, ubi kayu dan ubi badak yang mana hasil jualan akan digunakan untuk membeli makanan asas sebelum diagihkan kepada lebih 100 penerima secara berkala.

Menurut Wan Zahari, dia melakukan usaha menerusi rancangan tanaman asnaf sejak sembilan tahun lalu apabila aktif membantu golongan memerlukan yang terputus bekalan makanan.

“Ada yang bermurah hati membenarkan saya mengusahakan tanaman untuk membantu asnaf di tanah mereka memandangkan keluasannya tidak mencukupi untuk membina kediaman.

“Sejak itu bekalan makanan asas untuk asnaf di bawah seliaan saya tidak pernah putus namun ia hanya diberikan secara berkala bergantung kepada hasil yang berjaya dijual,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Wan Zahari terdahulu hadir menyampaikan bantuan makanan kepada 30 asnaf di Kampung Pasir Pekan Tengah di sini yang juga untuk kegunaan menyambut Ramadan esok.

Dia berkata, sumbangan yang diberikan hari ini adalah hasil jualan tanaman yang dikumpul sebelum banjir melanda baru-baru ini dan secara keseluruhan, barang makanan yang diterima mencecah RM60 untuk setiap penerima.

“Biasanya saya sudah ada pembeli tetap untuk jualan tanaman ini sama ada memang untuk dimakan sendiri atau membeli sambil menderma dan Alhamdulillah, rezeki untuk asnaf sentiasa ada.

“Cuma sedikit kekangan kewangan dialami kini untuk membaiki pagar yang rosak akibat banjir yang melanda hujung tahun lalu selain bagi pembelian baja dan saya harap ada yang sudi membantu,” katanya.

Seorang penerima, Rogayah Ibrahim, 84, meluahkan rasa kesyukuran kerana sentiasa menerima bantuan makanan asas dari inisiatif yang diusahakan Wan Zahari.

Dia yang menetap bersama anaknya, Suddin Harub, 63, berkata, bantuan itu dapat digunakan sesekali jika dia larat untuk memasak memandangkan kudratnya semakin uzur serta penglihatan juga agak kabur.

“Biasanya kami beli lauk kerana hanya saya dan anak lelaki sahaja tapi sesekali masuk juga ke dapur untuk memasak ala kadar.

“Alhamdulillah, sumbangan ini dapat lah meringankan sedikit beban kami daripada mengeluarkan belanja lebih untuk bulan puasa ini kerana anak hanya bekerja menebang pokok dengan pendapatan tidak menentu,” katanya. – Harian Metro

Related Posts