Home NegeriLelaki cedera terkena parang dilibas sendiri ketika cari kayu gaharu

Lelaki cedera terkena parang dilibas sendiri ketika cari kayu gaharu

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seorang lelaki cedera terkena parang dilibasnya sendiri ketika mencari kayu gaharu di hutan berdekatan rumahnya di Kampung Serdang, Dungun, Terengganu, petang kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu,  mangsa dan rakannya berjaya diselamatkan pasukan bomba dalam satu operasi mencari dan menyelamat selama hampir dua jam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sharizal Shamsudin berkata mangsa berusia 39 tahun itu dikatakan pergi ke hutan bersama rakannya untuk mencari kayu gaharu kira-kira pada pukul 8 pagi.

banner

Menurut Sharizal, ketika sedang memotong kayu, parang digunakan mangsa terlibas dan terkena kaki kanannya sehingga cedera teruk di mana mangsa tidak berupaya berjalan untuk keluar dari hutan.

Sharizal berkata, bomba menerima panggilan dari rakan mangsa pukul 7.30 petang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pukul 8 malam dengan kekuatan seramai 15 anggota bomba.

Menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba Sharizal, pihaknya terpaksa menggunakan sebuah bot untuk ke kaki bukit hutan berkenaan sebelum berjaya membawa turun mangsa sejauh hampir 300 meter.

“Mangsa mengalami pendarahan agak teruk terpaksa diberikan rawatan kecemasan di lokasi kejadian sebelum di bawa keluar dari hutan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa bersama rakannya berjaya di bawa keluar dari hutan berkenaan pukul 9.50 minit malam tadi dan dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Dungun untuk menerima rawatan. – Suara Timur

Tinggalkan komen