Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Pertubuhan Aspirasi Anak Kemaman (PASAK) mengagihkan 35 bakul makanan hasil sumbangan orang ramai kepada enam sekolah di daerah ini, semalam.
Pengerusinya, Mohamad Reeza Abd. Patah berkata, PASAK merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (ngo) yang baru ditubuhkan lapan bulan lalu oleh sekumpulan anak muda daerah Kemaman.
“Lima Fokus utama PASAK antaranya Pendidikan, Kebajikan, Kesukarelawan, Modal Insan dan Kemasyarakatan.
“Kita nak membantu mengembangkan potensi pendidikan anak-anak pelajar dalam daerah Kemaman disamping menggalakkan program berbentuk kebajikan, kemasyarakatan dan juga kesukarelawanan katanya ketika dihubungi Suara Timur hari ini.

Mohamad Reeza yang juga Pegawai Tadbir di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat berkata, program ini dinamakan Program Bakul Makanan Ramadan 1446.
Menurutnya, selain kotak makanan, PASAK juga mengagihkan duit raya kepada 35 pelajar miskin dan yatim kepada enam buah sekolah yang mana nama pelajar dipilih oleh pihak sekolah sendiri.
Katanya, antara sekolah yang terpilih seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai, SK Seri Geliga, SK Cheneh Baru 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, SMK Seri Cheneh dan SMK Cheneh Baru.


“Alhamdulillah, program ini berjaya dilaksanakan dan PASAK mengucapkan terima kasih kepada semua cikgu dan pihak sekolah atas kerjasama yang diberikan.
“Sokongan yang amat memberangsangkan membuatkan kami sangat terharu.
Terima kasih kepada semua yang memberikan sumbangan dan hanya Allah yang mampu membalas jasa mereka semua,” katanya. – Suara Timur