BESUT: Seorang bapa maut, manakala bayi lelakinya berusia setahun parah apabila motosikal yang mereka naiki terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Gong Medang, di sini, malam tadi.
Dalam kemalangan yang berlaku pada kira-kira jam 10 malam itu, mangsa Mohd Zulshahriel Mohd Zalfari, 41, yang dikatakan tercampak ke dalam longkang maut di tempat kejadian, manakala anaknya yang diletakkan dalam bakul motosikal parah selepas terjatuh ke jalan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md Sani Md Saleh, berkata
bayi yang parah itu dihantar ke Hospital Besut sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, polis menerima maklumat kemalangan membabitkan motosikal jenis Honda EX5 dinaiki kedua-dua mangsa itu dengan kereta PERODUA Myvi pada kira-kira jam 10 malam.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa bersama anaknya yang datang dari arah lorong Atas Gong keluar simpang dan membelok ke kanan jalan.
“Pada masa sama, kereta PERODUA Myvi yang datang di jalan utama dari Tembila ke Kampung Raja tidak sempat mengelak dan terlanggar bahagian belakang motosikal itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Berita Harian