Negeri

Air balang percuma untuk ibu mengandung

KUALA TERENGGANU: Dua sahabat yang berniaga air balang memberi secawan air secara percuma kepada ibu mengandung yang singgah di gerai mereka sepanjang Ramadan ini.

Muhammad Naim Mohd. Yusof, 29, berkata, dia bersama rakannya, Amirul Imran Mohd. Roslan, 29, berniaga berhampiran Masjid At-Taqwa di Kampung Durian Burung, di sini, sejak awal Ramadan lalu.

Menurutnya, perniagaan air balang pada bulan puasa ini merupakan buat pertama kali dan mereka bekerja sebagai pemandu e-hailing dan penghantar makanan Food Panda.

Katanya, idea untuk memberi air percuma kepada wanita hamil dicadangkan ibunya, Azizah Omar, 63, sebagai pada sepanjang Ramadan.

“Kami berharap pemberian secawan air ini dapat beri kegembiraan kepada ibu-ibu mengandung,” katanya ketika ditemui di gerainya, di sini, semalam.

Katanya, mereka tidak mengehadkan sebarang syarat, sebaliknya setiap wanita mengandung akan diberikan secawan air secara percuma.

“Kami jual empat jenis minuman iaitu teh hijau, keladi, jagung dan strawberi dengan dua saiz iaitu cawan dan plastik yang masing-masing dijual dengan harga RM3 dan RM4.

“Setakat ini, Alhamdullilah, kami terima sambutan baik kerana niat mahu berkongsi rezeki dalam bulan yang mulia ini,” katanya.

Tambahnya, mereka mula berniaga dari pukul 4.30 petang hingga 7 malam.

Sementara itu, pelanggan, Marina Ahmad, 44, yang mengandung sembilan bulan tidak ketinggalan singgah mendapatkan air balang yang diberi percuma dua sahabat itu untuk berbuka puasa.

“Saya singgah di warung ini, selepas membaca ‘banner’ percuma untuk ibu mengandung dan ia wajar dicontohi peniaga-peniaga lain,” ujarnya. – Suara Timur

Related Posts