KOTA BHARU: Penyalahgunaan dadah dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kes gangguan mental di negeri ini, kata Pakar Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Nik Lili Ariantie Ahmad.
Beliau berkata berdasarkan data hospital itu sepanjang tahun lalu, seramai 543 pesakit yang hadir ke klinik pakar psikiatri didapati mempunyai masalah ketagihan yang disertai gejala gangguan mental.
“Berdasarkan data tahun lalu juga, terdapat 31 kes dirujuk ke klinik ketagihan kerana mempunyai masalah penyalahgunaan dadah serta mengalami gejala gangguan mental. Pesakit ini akan diberi rawatan dan perlu hadir ke klinik secara berkala untuk rawatan susulan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bagi pesakit yang dimasukkan ke wad psikiatri pula, Dr Nik Lili berkata dianggarkan hampir separuh daripada jumlah mereka mempunyai masalah penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.
Beliau berkata kebanyakan pesakit yang dirawat adalah dalam kalangan golongan dewasa, namun terdapat juga kes membabitkan remaja yang terkesan akibat penyalahgunaan dadah sintetik seperti pil kuda, syabu, epam serta cecair vape “mushroom”.
Dr Nik Lili berkata dalam kes tertentu, penyalahgunaan dadah boleh menyebabkan kerosakan fungsi otak, terutama jika ia berlaku pada usia muda atau membabitkan bahan seperti gam yang memberi kesan toksik kepada sistem saraf.
Beliau berkata penggunaan dadah sintetik seperti methamphetamine yang menyebabkan individu tidak tidur sehingga empat atau lima hari juga berpotensi mencetuskan episod psikotik termasuk halusinasi dan delusi.
Mengulas tanggapan pesakit mental akibat penyalahgunaan dadah tidak lagi ketagih atau mengingati bahan terbabit, beliau berkata perkara itu tidak semestinya benar.
“Ada pesakit yang masih menggunakan dadah walaupun sudah mendapatkan rawatan. Ketagihan itu sendiri adalah satu penyakit dan apabila mereka gagal berhenti, gejala gangguan mental boleh menjadi semakin teruk. – Metro
