Home NegeriMayat mangsa lemas kedua ditemukan terapung di jeti Pasar Paka

Mayat mangsa lemas kedua ditemukan terapung di jeti Pasar Paka

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

DUNGUN: Mayat Muhammad Aidil Amsyar Mohd Zul-Zunaidi, 14, yang lemas bersama abangnya ketika mandi di Sungai Beril dekat Paka semalam ditemukan pagi ini.

Pemangku Ketua Polis daerah Dungun, Deputi Superintenden Jumaidy Bah Chong Weh berkata, mayat mangsa ditemukan terapung oleh orang awam di jeti Pasar Dungun pukul 9.55 pagi.

Menurutnya, jarak mayat mangsa ditemukan itu sejauh  kira-kira dua kilometer dari tempat mangsa dilaporkan lemas.

banner

“Anggota pasukan penyelamat bergegas di tempat mayat mangsa ditemukan selepas  mendapat maklumat penemuan mayat daripada orang awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa disambung hari ini bermula pukul 8 pagi membabitkan seramai 39 anggota polis, bomba dan penduduk kampung termasuk bantuan Unit Anjing Pengesan K9 dari Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Jumaidy berkata, mayat abang mangsa, Muhammad Amir Ashraf, 15, yang ditemukan 3.47 petang semalam siap menjalani proses bedah siasat di Hospital Dungun dan dituntut keluarganya kira-kira 10 malam tadi.

Dalam kejadian 10.56 pagi semalam, dua beradik dilaporkan lemas ketika mandi bersama dua lagi rakannya, Muhammad Farish Iqbal Cik Mohanarunasdi, 14, dan Muhammad Afi Naashif Adli Noone, 15.

Kedua-dua mereka adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling, Marang lemas selepas dihanyutkan arus deras.

Bagaimanapun, Muhammad Farish Iqbal dan Muhammad Afi Naashif, selamat dalam kejadian itu. – Suara Timur

Tinggalkan komen