KUALA NERUS: Pusat Pakar Mata Bashira memperkukuh usaha memperkenalkan kepentingan penjagaan kesihatan mata menerusi program ‘Luncheon Special Talk: Bashira Eye Specialist Centre with Media – Healthy Eye Care For Life’ sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini.
Program itu bukan sahaja menjadi platform perkongsian mengenai penjagaan kesihatan mata secara menyeluruh, malah turut mengeratkan hubungan serta kerjasama antara pusat pakar berkenaan dengan pengamal media arus perdana dalam menyebarkan kesedaran kepada masyarakat.
Pengarah Pusat Pakar Mata Bashira, Prof. Dr. Harmy Mohamed Yusoff berkata, pusat pakar mata itu komited menyediakan perkhidmatan pemeriksaan dan rawatan mata moden kepada semua lapisan masyarakat khususnya pengamal media.
Beliau berkata, kerjasama bersama Kelab Media Perdana Terengganu (METRA) yang diterajui Mohd Zaid Mohd Noor mampu memperluaskan kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan mata berkala.

“Ini adalah masa terbaik untuk penjagaan mata secara berkala dan semua pengamal media dialu-alukan hadir ke pusat kami bagi mendapatkan pemeriksaan mata lengkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari Wartawan Nasional (HAWANA) secara rasmi disambut pada 29 Mei setiap tahun.
Sementara itu sambutan Hari Wartawan Nasional 2026 (HAWANA 2026) pula dijadual berlangsung pada 20 Jun depan di Pulau Pinang, dengan acara kemuncak di PICCA @ Arena Butterworth.
Menurut Dr. Harmy Mohamed, pengamal media memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan mata selain menyampaikan maklumat berkaitan teknologi rawatan mata moden yang kini tersedia di Terengganu.
Katanya, tugas media yang memerlukan aktiviti lasak seperti membuat liputan sukan, aktiviti air dan penyelaman menjadikan penglihatan jelas tanpa penggunaan cermin mata sebagai satu kelebihan dari aspek keselamatan dan kecekapan kerja.
Pusat Pakar Mata Bashira merupakan satu-satunya pusat pakar mata di Pantai Timur yang menawarkan rawatan TransPRK LASIK bagi membantu pesakit rabun mendapatkan semula penglihatan lebih jelas tanpa kebergantungan kepada cermin mata.
Pada sambutan HAWANA juga pusat pakar mata tersebut turut menyampaikan baucar penghargaan bernilai RM200 kepada pengamal media arus perdana di seluruh negara untuk mendapatkan diskaun rawatan pembedahan LASIK TransPRK di pusat berkenaan.
Media yang berminat hanya perlu membuat tempahan temu janji dan menunjukkan kad media rasmi bagi menikmati kemudahan tersebut.
Dalam majlis sama, Bashira Eye Specialist Centre turut bekerjasama dengan kafe pastri berkonsep Inggeris, ButterRoo dengan menawarkan baucar diskaun 10 peratus kepada tetamu yang hadir.
Pengurus Bashira Eye Specialist Centre, Shima Jamaluddin berkata, inisiatif itu sebagai penghargaan terhadap peranan besar media dalam menyampaikan maklumat yang memberi impak positif kepada masyarakat termasuk kesedaran mengenai penjagaan kesihatan mata.
Antara perkhidmatan yang disediakan di pusat pakar berkenaan termasuk pemeriksaan dan pembedahan katarak, rawatan laser dan LASIK TransPRK, rawatan pterygium, pemeriksaan mata kanak-kanak, rawatan mata kering serta rawatan keradangan mata.
Bashira Eye Specialist Centre terletak di Seberang Takir berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud. – Suara Timur
