Home Nasional‘Buta huruf ke?’ – Anwar bidas pihak guna kenyataan lama isu minyak turun

‘Buta huruf ke?’ – Anwar bidas pihak guna kenyataan lama isu minyak turun

oleh suara timur

KUALA KANGSAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak tertentu yang terus memainkan semula kenyataan lamanya berhubung isu penurunan harga minyak.

Beliau menyifatkan tindakan mengitar semula kenyataan ‘hari ini menang, esok minyak turun’ tanpa mengambil kira konteks sebenar sebagai cubaan mengelirukan rakyat demi kepentingan politik sempit.

“Ada pihak menggunakan media sosial untuk memutarbelitkan fakta. Minyak melambung naik, kemudian mereka mengulang kenyataan lama saya.

“Eh, kamu ini tidak membaca fakta atau buta huruf? Kenyataan itu dibuat ketika harga minyak di Arab Saudi sekitar 50 sen, tetapi kita (sekarang) RM1.99.

banner

“Jika fakta tidak dipedulikan, yang ada cuma politik picisan yang memperbodohkan rakyat,” katanya ketika sesi dialog dalam program ‘Temu Anwar Bersama Warga MCKK’ di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di sini pada Sabtu.

Menteri Kewangan itu menegaskan bahawa keadaan ketika ini jauh berbeza apabila Malaysia masih mengekalkan antara harga minyak terendah di dunia meskipun banyak negara pengeluar telah menaikkan harga bahan api masing-masing.

Katanya, kerajaan juga terus komited mengekalkan subsidi diesel khususnya bagi golongan petani dan nelayan bagi mengurangkan beban kos sara hidup.

Mengulas lanjut, beliau mengakui cabaran besar dalam melaksanakan perubahan dan reformasi, terutama dalam suasana politik semasa yang memerlukan rundingan pelbagai pihak. – Sinar Harian

Tinggalkan komen