Home NegeriProgram silang budaya satukan warisan kebudayaan dan sains di Terengganu

Program silang budaya satukan warisan kebudayaan dan sains di Terengganu

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU: Pendekatan menggabungkan elemen sains dan warisan budaya dilihat mampu menarik minat generasi muda untuk lebih mengenali tradisi masyarakat pelbagai kaum, sekali gus memupuk kefahaman terhadap kepelbagaian budaya yang menjadi seba. hagian daripada identiti negara.

Atas dasar itu, Persatuan Huang Terengganu menganjurkan Program Pencerapan Bulan dan Pesta Tanglung di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT)  di sini yang berjaya menghimpunkan masyarakat berbilang kaum dalam suasana penuh harmoni.

Presiden Persatuan Huang Terengganu, Wee Pit Beng, berkata program berkenaan dianjurkan sebagai usaha memperkenalkan warisan masyarakat Cina kepada generasi muda melalui pendekatan yang lebih dekat dengan minat mereka.

DARI kiriPengerusi Persatuan Huang Terengganu Wee Pit Beng(dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Operasi PSKT Hilman Hajijan(kanan) bersama masyarakat setempat semperna penganjuran ‘Pencerapan Bulan dan Pesta Tanglung’ yang telah berlangsung di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Menurutnya, penggunaan elemen sains dalam program tersebut menjadi medium berkesan untuk menghubungkan aspek budaya dengan pembelajaran yang bersifat interaktif dan menyeronokkan.

banner

“Pada tahun ini kami menampilkan kelainan dengan menggabungkan unsur sains dan budaya. Tanglung bukan sekadar simbol tradisi, malah mempunyai aspek saintifik yang boleh diterokai.

“Begitu juga aktiviti pencerapan bulan yang mempunyai kaitan rapat dengan budaya masyarakat Cina dan pada masa sama dapat dijelaskan menerusi perspektif astronomi,” katanya.

PELBAGAI  acara sampingan kebudayaan yang mencuri perhatian masyarakat setempat untuk mengenali lebih dekat program kebudayaan semperna ‘Pencerapan Bulan dan Pesta Tanglung’ di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, program yang sebelum ini dilaksanakan dalam skala kecil di Kampung Cina, Kuala Terengganu kini diperluaskan menerusi kerjasama dengan PSKT bagi membolehkan lebih ramai masyarakat daripada pelbagai latar belakang menyertainya.

Katanya, penganjuran di pusat sains berkenaan turut membuka ruang kepada orang ramai untuk memahami budaya masyarakat Cina dengan lebih dekat sekali gus mengukuhkan semangat perpaduan dan saling menghormati antara kaum.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PSKT, Hilman Hajijan, berkata program berkenaan membuktikan bahawa institusi sains bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pembelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), malah mampu menjadi platform mempromosikan nilai budaya dan kemasyarakatan.

AHLI Persatuan Huang Terengganu bersama rakan-rakan strategik yang turut sama menjayakan program ‘Pencerapan Bulan dan Pesta Tanglung’ di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

“Program seperti ini menunjukkan bahawa ilmu sains boleh dihubungkan dengan pelbagai aspek kehidupan termasuk warisan budaya yang perlu terus dipelihara oleh generasi akan datang.

“PSKT sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program berimpak tinggi kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan majlis penutup program tersebut.

Selain aktiviti pencerapan bulan dan perarakan tanglung, program sehari itu turut dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk pertandingan Pesona Cilik Fesyen Cina, pertandingan memasak Citarasa Mek Awang, sesi merasa kuih bulan serta persembahan kebudayaan.

Penganjuran pelbagai aktiviti tersebut berjaya menarik kehadiran pengunjung daripada pelbagai peringkat umur yang hadir bersama keluarga bagi menikmati pengalaman menggabungkan unsur pendidikan, budaya dan komuniti dalam satu program. – Suara Timur

Tinggalkan komen