Home NasionalAnggota sukarela APM Dungun terima Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya

Anggota sukarela APM Dungun terima Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Anggota sukarela Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Dungun, Prebet (PA) Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif menerima anugerah Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya atas kejayaannya mengharumkan nama negara dengan meraih pingat gangsa di Sukan SEA Thailand 2025 di Thailand, baru-baru ini.

Mohamad Armin Zahryl  berjaya meraih pingat gangsa dalam acara larian 110 meter berpagar pada kejohanan sukan tersebut.

Dalam satu kenyataan, APM berkata, kejayaan ini bukan sahaja membanggakan negara, malah turut mencerminkan dan semangat juang tinggi yang dimiliki oleh beliau sebagai seorang warga APM.

banner
MOHAMAD  Armin Zahryl Abdul Latif (tiga dari kanan) menerima anugerah Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya di atas kejayaan cemerlang dan mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa dengan meraih pingat gangsa dalam acara larian 110 meter berpagar di Sukan SEA Thailand 2025, baru baru ini.

Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah menganugerahkan Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya kepada anggota sukarela APM itu sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian yang amat membanggakan ini.

“Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya APM merupakan pehargaan tertinggi dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Sijil ini dianugerahkan kepada individu-individu terpilih yang telah memberikan sumbangan luar biasa serta mengharumkan nama pasukan, organisasi dan negara.

“Penerima sijil ini turut dianugerahkan emblem dan lencana khas sebagai simbol penghormatan serta pengiktirafan tertinggi daripada pihak APM,” menurut kenyataan APM hari ini.

Tambah kenyataan itu, penganugerahan ini diharap dapat terus menyuntik semangat kecemerlangan, meningkatkan motivasi serta memperkukuhkan imej Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sebagai sebuah organisasi yang melahirkan anggota berwibawa, berdisiplin dan berprestasi tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Untuk rekod, Mohamad Armin Zahryl menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 13.85 saat, sekali gus meraih pingat gangsa dalam saingan sengit di Stadium Bangkok.

Beliau berada di belakang atlet Filipina, Tolentino John Christopher (emas) dan atlet Singapura, Ang Chen Xiang (perak). – Suara Timur

Tinggalkan komen