Negara

Pegawai ‘Top 5’ DBKL ditahan, SPRM rampas kereta mewah, beg berjenama, beku akaun RM7 juta

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan tiga individu termasuk seorang pegawai kanan sebuah agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan kerana terbabit dalam kegiatan rasuah dipercayai sejak 11 tahun lalu.

Pegawai kanan yang ditahan dipercayai dalam kalangan pegawai gred Jusa B.

Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin, ketika dihubungi BH, mengesahkan tangkapan itu.

“Saya sahkan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009,” katanya tanpa mengulas lanjut, di sini malam ini.

BH melaporkan seorang pegawai kanan yang berada dalam kalangan ‘Top 5’ pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi.

BH difahamkan, penahanan itu mempunyai kaitan dengan perolehan bagi sebuah projek berkaitan teknologi maklumat (IT).

Dalam perkembangan itu, satu sumber berkata turut ditahan seorang pemilik syarikat dan seorang orang awam kerana disyaki terbabit rasuah sejak 2014.

“Dua suspek yang juga pemilik syarikat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an masing-masing ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan sekitar jam 1 hingga 2 petang tadi.

“Suspek lelaki yang berkhidmat di agensi PBT di ibu negara berusia lingkungan 50-an pula ditahan sekitar jam 4 petang tadi di pejabatnya,” katanya.

Sumber berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit rasuah sejak 2014, yang mana suspek berjawatan pemilik syarikat itu dipercayai membayar rasuah kepada pegawai PBT berkenaan sebagai balasan membantu mendapatkan projek di agensi itu.

“Susulan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM150,000, empat peranti telekomunikasi, dua unit kenderaan jenis Lexus RX500h serta Mini Cooper, beg tangan serta kasut berjenama Hermès dan Louis Vuitton.

“SPRM juga membekukan 19 akaun perbankan milik individu serta syarikat membabitkan nilai lebih RM7 juta,” katanya. – Berita Harian

Related Posts