SHAH ALAM – Seramai enam pelajar Tingkatan Lima di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Melaka digantung dan dicadangkan untuk dibuang sekolah selepas didakwa terlibat dalam kejadian buli.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa beliau menerima banyak makluman daripada pengikut media sosialnya berhubung kes berkenaan sejak awal pagi Sabtu.
Sehubungan itu, beliau segera meminta laporan daripada pihak pengurusan Mara dan memberi peringatan tegas bahawa tiada sebarang rayuan akan diterima.
“Enam pelajar Tingkatan Lima terlibat buli digantung dan dicadang untuk dibuang. Tidak perlu merayu. #YouTouchYouGo.
“Saya sudah tegaskan kepada pihak pengurusan Mara bahawa jangan dilayani sebarang rayuan. Bahkan tidak perlu juga bersusah payah hendak berjumpa saya untuk merayu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Tindakan tegas Mara terhadap pelajar yang didakwa melakukan perbuatan buli bukanlah perkara baharu sejak institusi itu berada di bawah penyeliaan Asyraf Wajdi.
Pada April lalu, seramai tujuh pelajar yang terlibat dalam insiden buli di sebuah MRSM di utara tanah air turut disyorkan untuk ditamatkan pengajian di institusi berkenaan.
Keputusan drastik itu dibuat susulan tularnya sebuah video berdurasi satu minit 31 saat di Facebook yang memaparkan beberapa pelajar memijak dan duduk di atas seorang pelajar lelaki.
Beliau menegaskan bahawa Mara telah berkali-kali memberi peringatan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang bentuk perlakuan buli.
“Yang kita hendak lahirkan ialah generasi pemimpin yang berakhlak dan beradab, bukan petualang yang meranapkan nilai keagamaan dan ketamadunan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut menegaskan komitmennya untuk menjadikan MRSM dan institusi-institusi pendidikan di bawah Mara sebagai zon bebas buli. – Sinar Harian