Home NegeriPenduduk Kampung Ibok, Padang Kemunting rayu jambatan baharu disegerakan

Penduduk Kampung Ibok, Padang Kemunting rayu jambatan baharu disegerakan

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Penduduk Kampung Ibok dan Padang Kemunting di sini merayu pihak berkenaan agar menyegerakan pembinaan sebuah jambatan baharu bagi menggantikan jambatan sedia ada yang rosak dan tidak lagi selamat digunakan.

Masalah yang berlarutan sejak kira-kira setahun lalu itu menyebabkan penduduk terpaksa terus menggunakan jambatan yang telah mendap dan berisiko, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna.

PENDUDUK Kampung Ibok dan Padang Kemunting, Kemaman bimbang menggunakan jambatan di kampung itu yang mendap dan tidak selamat dilalui. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Tinjauan di lokasi mendapati keadaan struktur jambatan berkenaan semakin serius dan tidak stabil, sekali gus membahayakan penduduk yang berulang-alik setiap hari.

banner

Seorang penduduk Tengku Nobli Tengku Ghani berkata, mereka tiada pilihan selain menggunakan laluan tersebut bagi urusan harian termasuk menghantar anak ke sekolah dan ke tempat kerja.

TENGKU NOBLI TENGKU GHANI

“Laluan alternatif agak jauh, kira-kira tujuh hingga lapan kilometer, menyebabkan kami terpaksa berpusing dan menanggung kos tambahan,” katanya.

Seorang lagi penduduk,  Razali Awang berkata, keadaan bawah jambatan yang semakin kosong menambahkan risiko runtuhan, terutama apabila dilalui kenderaan berat.

RAZALI AWANG

“Memang bimbang, terutama keselamatan kanak-kanak yang menggunakan jambatan ini setiap hari,” katanya.

Seorang penduduk, Fatmah Abdullah, berkata keadaan jambatan yang uzur itu membahayakan pengguna termasuk penunggang motosikal, basikal dan pemandu kenderaan.

FATMAH ABDULLAH

“Jambatan ini sudah lama dan semakin berbahaya, kami risau keselamatan anak cucu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat berkata, pihak berkaitan kini berada pada fasa akhir perbincangan termasuk pelantikan kontraktor bagi melaksanakan projek pembinaan jambatan berkenaan.

Beliau berkata kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada Jun ini dan satu laluan sementara turut akan dibina bagi kemudahan penduduk sepanjang tempoh pembinaan. – Suara Timur

Tinggalkan komen