CHUKAI: Ibu bapa dan penjaga pelajar Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) di sini meminta Yayasan Terengganu (YT) mempertimbang menangguhkan sementara penutupan asrama itu yang dijadualkan pada Jun tahun hadapan.
Wakil ibu bapa dan penjaga pelajar AYTK, Sharifah Rahmazu Asikin Said Baharuddin berkata, yayasan itu perlu menilai semula keputusan berkenaan dengan mengambil kira kebajikan pelajar sebagai keutamaan, khususnya dari sudut akademik, emosi dan psikologi pelajar terlibat.
“Besar harapan kami agar suara dan kebimbangan ibu bapa ini dapat dipertimbangkan secara adil dan berhemah bagi memastikan kebajikan serta masa depan anak-anak kami terus terpelihara,” katanya kepada Bernama pada Khamis.
Sharifah Rahmazu Asikin berkata, berdasarkan notis yang diterima pada 3 Disember lepas, proses pemindahan 104 pelajar di asrama itu akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga Jun tahun hadapan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, ibu bapa dan penjaga membantah keputusan YT kerana ia dikhuatiri menjejaskan kebajikan serta masa depan anak-anak mereka.
Dalam pada itu, Sharifah Rahmazu Asikin berkata, beliau bersama Pengerusi Persatuan Alumni Penghuni AYTK, Rohaimi Yusof telah menghantar surat bantahan penutupan asrama itu kepada Pengarah YT Ahmad Farhan Abdul Wahab pada Rabu.
“AYTK menjadi tempat pembentukan disiplin, sahsiah dan kecemerlangan anak-anak kami dan penutupan asrama ini menjejaskan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat suasana pembelajaran yang kondusif,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan AYTK akan digantikan dengan Sekolah Menengah Imtiaz swasta bagi menampung permohonan kemasukan pelajar ke sekolah menengah itu yang mencecah 5,000 pelajar setiap tahun. – Bernama
