Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Penduduk tanah rancangan Felda Seberang Tayor di sini kini berada dalam ketakutan susulan beberapa ekor beruang berkeliaran di kawasan kediaman mereka sejak Mei lalu.
Menurut mereka, beruang berkenaan dikatakan tersesat dari hutan berhampiran dan berkeliaran di kampung itu untuk mencari makanan ekoran musim buah-buahan pada masa ini.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, setiap hari haiwan liar berkenaan menceroboh kawasan rumah yang mempunyai pokok tanaman seperti durian serta nangka dan bertindak merosakkan buah yang telah hampir masak.
Menurutnya, haiwan berkenaan juga berani memanjat pokok tanaman dan memetik buah durian serta nangka dan membuangnya ke bawah menyebabkan mereka mengalami kerugian.
“Haiwan liar itu sering muncul pada waktu pagi dan petang hampir setiap hari sehingga penduduk bimbang dengan keselamatan terutamanya kanak-kanak yang berulang alik ke sekolah.

“Pada 22 Mei lalu, Pejabat Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kemaman telah meletak perangkap dan membiarkan tanpa pemantauan sejak diletak hingga sekarang.” katanya ketika ditemui semalam.
Penduduk terlibat berkata, warga Felda Seberang Tayor berharap masalah yang dihadapi mereka dapat diselesaikan segera memandangkan kehidupan mereka telah lama berada dalam ketakutan dan berjaga-jaga sepanjang masa sehingga menjejaskan rutin harian mereka.
“Jangan ada dalam kalangan kami yang menjadi mengsa serangan beruang, barulah pihak berkuasa akan mengambil tindakan.
Tinjauan Suara Timur semalam mendapati perangkap haiwan yang diletakkan di tepi jalan berhampiran sebuah rumah tiada pengawasan dan tidak diletakkan umpan.
Selain itu, keadaan perangkap juga kotor dengan plastik pembungkusan minuman di dalamnya dan berada dalam keadaan terbiar.
Pada 29 Jun lalu, Suara Timur melaporkan kebimbangan penduduk tanah rancangan Felda Seberang Tayor susulan beberapa ekor beruang dikatakan berkeliaran di kawasan kediaman mereka sejak beberapa minggu lalu. – Suara Timur