Negeri

150 buah rumah di Kemaman rosak ditimpa ribut

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Kira-kira 150 buah rumah di daerah ini mengalami kerosakan dalam kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda daerah ini, petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana) negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, kebanyakan rumah penduduk terlibat mengalami kerosakan terutamanya bahagian bumbung dalam kejadian ribut  pada pukul 3.30 petang itu.

Menurutnya, kampung-kampung terlibat terletak di kawasan Chukai, Air Putih, Kijal dan Kemasik 

“Kejadian ribut ini bermula dengan hujan lebat hampir 20 minit, disusuli angin kencang, kilat dan ribut kuat yang berlaku hanya beberapa minit menyebabkan banyak rumah penduduk yang terjejas.

“Kita telah memeriksa dan mengambil data rumah yang terlibat dan kerja-kerja pembaikian telah dilakukan segera oleh kontraktor dilantik. Kita jangka esok akan selesai semua kerja-kerja pembaikian ini kerana kita bimbang hujan akan kembali berlaku dan menyukarkan penduduk,” katanya ketika meninjau keadaan rumah penduduk di Chukai, hari ini.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chukai berkata, setakat ini, jumlah  kerugian dialami penduduk masih dalam penilaian.

“Selain rumah penduduk yang mengalami kerosakan, kejadian ribut itu turut menyebabkan banyak pokok tumbang. Bagaimanapun pihak berkuasa dan pasukan penyelamat telah mengambil tindakan memotong pokok yang menghalang lalu lintas,” katanya.

Sementara itu salah seorang penduduk di Bandar Seri Bandi, Ahsun Mohamad Shari, 74, berkata, kejadian ribut itu menyebabkan separuh bumbung bahagian kediamannya diterbangkan angin.

“Ketika kejadian saya dan isteri, Mahsuri Senik,63, sedang berada di dapur. Kami dengar bunyi hujan yang sangat lebat dengan angin kencang. Kami agak takut untuk keluar kerana angin kencang yang sangat luar biasa.

“Bila angin dan hujan dah reda, kami  terkejut melihat separuh atap rumah bahagian bilik dan ruang tamu sudah terbang dan hanya berbumbungkan langit,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia kerugian hampir RM30,000 dan kesemua barangan peribadi, perabot dan tilam di empat buah bilik rumahnya juga rosak ditimpa hujan dan kayu yang berterbangan.

Bagi seorang penduduk di Kampung Binjai, Mohammad Shahrool Amir, 32, berkata, kejadian ribut itu turut menyebabkan berlaku hujan air batu di kawasan kampung tersebut.

“Di kawasan lain saya tak pasti berlaku hujan air batu atau tidak, tapi di kawasan Binjai ini memang berlaku hujan air batu dan ada juga penduduk yang sempat merakam gambar.

“Tak pernah berlaku hujan air batu dan ribut yang kuat di sini sebelum ini, kami agak bimbang kalau kejadian sama berulang kerana sudah dua hari berturut-turut hujan berlaku pada waktu petang,” katanya.  – Suara Timur

Related Posts