Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Seorang pekebun maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di kilometer 15 Jalan Al Mukltafi Billah Shah – Bandar Paka, berhampiran sebuah tapak pertandingan memancing berdekatan Bandar Ketengah Jaya di sini, petang semalam.
Dalam kejadian 6.45 petang itu, mangsa, Ibrahim Daud, 47, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Kerteh Enam di sini, selepas selesai kerja di ladang kelapa sawit miliknya.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dikatakan tidak sempat mengelak dan melanggar sebuah kereta dari arah bertentangan yang sedang membelok masuk ke kolam memancing.
Akibat perlanggaran itu, mangsa dan motosikalnya terjatuh di atas jalan raya dan telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat dan urusan selanjutnya.
“Kes berkenaan akan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – Suara Timur
