Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang pengusaha kedai makan dan isteri meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 162.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Maran, Pahang, malam tadi.
Kemalangan dipercayai berlaku lebih kurang pukul 7.30 petang ketika mangsa, Aziz Awang, 68, bersama isteri yang mengusahakan Warung Aziz Satar, Kampung Geliga Kuala Kemaman di sini dan seorang cucu serta tiga pekerja dalam perjalanan dari arah Cameron Highlands, Pahang menghala ke arah Kemaman, Terengganu.
Apabila sampai di tempat kejadian, cuaca hujan lebat ketika kenderaan mangsa bergerak lurus di lorong kiri tiba-tiba kenderaan mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke longkang di sebelah kiri jalan.

Akibat daripada kemalangan ini mangsa dan isteri, Hasnah Mat Nong, 64, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia dan mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Jengka untuk bedah siasat.
Sementara itu, pekerja warung, Che Siti Suhaida Che Amat, 27, dan Rohani Chik, 65, dari Kampung Payoh, Kijal serta Noraini Mamat, 45, Kampung Geliga Besar dibawa ke Hospital Termeloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Seorang lagi mangsa, Nor Ayra Qaisara Ahmad Iduwan, 8, iaitu anak salah seorang pekerja terlibat.
Jenazah pasangan itu disembahyangkan di Masjid Kuala Kemaman dan kebumikan di Tanah Perkuburan Kuala Kemaman di sini pagi ini. – Suara Timur