Home NegeriKes jenayah indeks meningkat di Kemaman

Kes jenayah indeks meningkat di Kemaman

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Sebanyak 57 kes jenayah indeks direkodkan di daerah ini bagi tempoh 1 Januari hingga 23 Mac lalu meningkat 9.6 peratus berbanding 52 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Razi Rosli berkata peningkatan itu didorong terutamanya jenayah curi yang mencatatkan kenaikan 31.8 peratus kepada 29 kes berbanding 22 kes sebelum ini.

“Jenayah harta benda turut meningkat 17.9 peratus dengan 46 kes direkodkan berbanding 39 kes tahun lalu, manakala kes curi motosikal menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 50 peratus kepada enam kes,” katanya.

banner

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Hari Polis Ke-219 di Dewan Kompleks Perumahan Polis Bukit Mentok, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Razi berkata, jenayah kekerasan menunjukkan penurunan 15.4 peratus kepada 11 kes berbanding 13 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Mengulas aspek keselamatan jalan raya, beliau berkata jumlah kemalangan maut meningkat 200 peratus dengan sembilan kes direkodkan berbanding tiga kes sebelum ini.

Sementara itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman mengeluarkan 15,555 saman berbanding 14,027 dalam tempoh sama tahun lalu iaitu meningkat 10.89 peratus.

“Daripada jumlah itu, kesalahan memandu tanpa lesen meningkat 32.67 peratus kepada 467 kes berbanding 352 kes sebelum ini,” katanya.

Pada majlis sama, seramai 50 penerima terdiri daripada pegawai dan anggota polis, ahli Persatuan Kebajikan Keluarga Polis (PERKEP), wakil media serta orang awam menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Kemaman sempena sambutan Hari Polis Ke-219. – Suara Timur

Tinggalkan komen