KUALA TERENGGANU: Peniaga kedai jualan dan serbaneka akan dipantau pihak berkuasa menerusi Ops Supik Hitam pada sepanjang Ramadan kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan bekerjasama dengan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melaksanakan pemantauan itu.
“Saya telah meminta Bahagian Penguatkuasaan JHEAT untuk kenal pasti kedai-kedai yang menjual kepada mereka yang tidak berpuasa pada tahun lepas.
“Beri amaran terakhir sebelum masuk Ramadan dan sekiranya masih tidak patuh undang-undang, tindakan sewajarnya perlu diambil.
“Untuk itu juga, saya telah bermesyuarat dengan Exco berkaitan PBT (Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah) mengenai perkara ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Berdasarkan rekod, hanya dua tangkapan kes umat Islam tidak berpuasa dilaporkan di Terengganu pada Ramadan tahun lalu.
Beliau turut mengingatkan peniaga agar mematuhi peraturan waktu jualan yang ditetapkan oleh setiap PBT sepanjang Ramadan.
“Begitu juga dengan orang awam, jangan sesekali membeli apa-apa makanan, minuman atau rokok dan yang seumpamanya untuk dimakan, diminum dan dihisap dalam tempoh waktu berpuasa.
“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Suara Rakyat