Home NegeriMPI 2026 himpun 356 penyertaan, perkasa budaya penyelidikan dan inovasi

MPI 2026 himpun 356 penyertaan, perkasa budaya penyelidikan dan inovasi

oleh suara timur

KEMAMAN: Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI) 2026 berjaya menghimpunkan sebanyak 356 penyertaan daripada institusi pengajian tinggi, sekolah dan industri dalam usaha memperkasa budaya penyelidikan serta pembangunan inovasi ke arah membentuk komuniti yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Program yang berlangsung selama dua hari di Dewan Canselor Universiti Kolej TATI (UC TATI) pada 22 hingga 23 Jun lalu itu dianjurkan secara bersama oleh Universiti Kolej TATI (UC TATI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

UC TATI dalam satu kenyataan memaklumkan, MPI yang memasuki penganjuran kali ke-10 tahun ini terus menjadi platform penting dalam mengetengahkan hasil penyelidikan dan inovasi yang mampu menjawab cabaran semasa serta memenuhi keperluan masyarakat dan industri pada masa hadapan.

Menurut kenyataan itu, tiga institusi pengajian tinggi utama di Terengganu menganjurkan program berkenaan secara bergilir-gilir setiap tahun dan UC TATI telah dipilih sebagai tuan rumah bagi edisi 2026 yang mengangkat tema “Shaping Future Ready Communities through Research and Innovation”.

banner
SEBAHAGIAN daripada pelajar institusi pengajian tinggi, sekolah dan industri yang menyertai MPI 2026 di UC TATI, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Daripada keseluruhan 356 penyertaan yang diterima, sebanyak 318 penyertaan melibatkan institusi pengajian tinggi, 36 penyertaan daripada sekolah dan dua penyertaan daripada industri.

Penyertaan tersebut dibahagikan kepada enam kluster utama dengan Kluster Pendidikan, Budaya dan Inovasi Sosial merekodkan jumlah tertinggi iaitu 143 penyertaan, diikuti Teknologi dan Sistem Pintar (74), Tenaga Boleh Diperbaharui dan Kelestarian (65), Perubatan, Kesihatan dan Kesejahteraan (42), Perniagaan, Industri dan Keusahawanan (22) serta Bandar Pintar, Pengangkutan dan Infrastruktur (10).

Rektor UC TATI, Profesor Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid, berkata sedekad penganjuran MPI membuktikan institusi pengajian tinggi mempunyai kekuatan dari segi kepakaran, bakat dan jaringan kolaborasi yang mampu membentuk ekosistem penyelidikan serta inovasi yang lebih berimpak.

“Penyertaan sebanyak 356 penyertaan pada tahun ini mencerminkan semangat warga penyelidik dan inovator dalam mencipta solusi kepada cabaran masyarakat.

“Pemeteraian surat hasrat (LoI) antara UC TATI, UMT dan UniSZA pula akan terus memperkukuh kerjasama strategik ke arah pembangunan komuniti masa hadapan yang lebih bersedia melalui penyelidikan dan inovasi,” katanya.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Datuk Dr Azman Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu.

Pada majlis itu, sebanyak 72 pingat emas dianugerahkan kepada penyertaan cemerlang, selain sembilan Anugerah Khas, dua Semi Grand Award dan satu Grand Award yang diberikan kepada inovasi terbaik berdasarkan aspek kreativiti, impak serta potensi pelaksanaannya.

Penganjuran MPI 2026 mencerminkan komitmen berterusan UC TATI bersama rakan strategiknya dalam memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi yang bukan sahaja memacu kecemerlangan akademik, malah menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara. – Suara Timur

Tinggalkan komen