Home NasionalKesihatan mental bukan ukuran kelemahan iman

Kesihatan mental bukan ukuran kelemahan iman

oleh suara timur

Oleh BAZLI RAZAK

TANJONG MALIM:  Masalah kesihatan mental tidak seharusnya dianggap sebagai ukuran kelemahan iman seseorang, sebaliknya individu yang mengalaminya perlu diberikan ruang selamat untuk mendapatkan bantuan tanpa penghakiman.

Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Emeritus Datuk Dr. Mohd Yusof Othman berkata,  sokongan agama, doa dan amalan kerohanian bagi individu yang memilihnya perlu melengkapi, bukannya menggantikan, khidmat kaunseling profesional serta rawatan klinikal yang diperlukan.

“Janganlah kita menjadikan masalah kesihatan mental sebagai ukuran kelemahan iman seseorang. Jangan pula kesedihan dibalas dengan celaan, atau permintaan bantuan dipandang sebagai kegagalan diri,” katanya.

MOHD Yusof Othman  (tiga dari kanan) ketika menyempurnakan peluncuran buku Henti Buli: 5 Langkah Membina Jiwa Empati Anak di Rumah pada Majlis Penutupan Persidangan Antarabangsa Kaunseling Kesihatan Mental Bencana (ICDMHC) 2026 di Bangunan E-Learning, UPSI.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Persidangan Antarabangsa Kaunseling Kesihatan Mental Bencana (ICDMHC) 2026 di Bangunan E-Learning, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.

Mohd Yusof berkata pemulihan mangsa bencana tidak seharusnya terhad kepada bantuan kecemasan seperti pengagihan makanan dan penyediaan tempat perlindungan, sebaliknya perlu merangkumi sokongan psikologi, sosial, emosi dan kerohanian mengikut keperluan individu.

MOHD Yusof Othman  ketika berucap pada Majlis Penutupan Persidangan Antarabangsa Kaunseling Kesihatan Mental Bencana (ICDMHC) 2026 di Bangunan E-Learning, UPSI.

Beliau berkata kehilangan rasa selamat, kesedihan dan ketakutan selepas bencana boleh menjejaskan kesejahteraan mangsa, justeru sokongan psikososial perlu diteruskan walaupun operasi bantuan kecemasan telah berakhir.

Sehubungan itu, beliau menggesa usaha pemulihan diperkukuh melalui latihan petugas, penyediaan saluran rujukan dan kerjasama antara agensi dengan komuniti bagi memastikan bantuan kesihatan mental dapat diakses oleh golongan yang memerlukan.

Beliau turut mencadangkan UPSI memperkukuh kurikulum pengajian, khususnya dalam bidang kaunseling, pendidikan dan pembangunan manusia, dengan memasukkan elemen agama dan spiritualiti sebagai sebahagian daripada pendekatan kesejahteraan mental yang turut mengambil kira faktor biologi, psikologi dan sosial.

ANTARA pelajar asnaf UPSI bergambar sambil menunjukkan cek cura Bantuan Asnaf Kasih MADANI 2026 bernilai RM20,000 pada Majlis Penutupan Persidangan Antarabangsa Kaunseling Kesihatan Mental Bencana (ICDMHC) 2026 di Bangunan E-Learning UPSI.

“Pendekatan itu perlu dilaksanakan secara berhemah dengan menghormati kepercayaan individu, menjaga kerahsiaan serta mengambil kira keperluan dan persetujuan klien,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusof turut meluncurkan buku Henti Buli: 5 Langkah Membina Jiwa Empati Anak di Rumah karya Ketua Jabatan Bimbingan dan Kaunseling UPSI, Dr. Mazita Ahmad.

Sementara itu, Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI Prof Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor berkata UPSI komited memperkukuh ilmu, kompetensi dan jaringan kerjasama dalam bidang kaunseling kesihatan mental bencana menerusi penyepaduan penyelidikan, amalan profesional, inovasi dan khidmat komuniti.

Beliau berkata usaha itu turut disokong oleh Neuro-Immersive Wellness Centre di bawah Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia UPSI, yang berperanan sebagai ruang pendidikan, penyelidikan, latihan dan inovasi dalam bidang kesihatan mental serta kaunseling, termasuk penerokaan teknologi terapeutik bagi menyokong kesejahteraan psikologi.

“Pendekatan berkenaan dapat membuka ruang kepada pelajar, penyelidik dan pengamal untuk meneroka kaedah intervensi yang lebih integratif dan inovatif bagi memperkukuh kesiapsiagaan, intervensi serta pemulihan kesihatan mental sebelum, semasa dan selepas bencana,” katanya.

Pada majlis sama, seramai 200 pelajar asnaf UPSI menerima manfaat Bantuan Asnaf Kasih MADANI 2026 berjumlah RM20,000 bagi membantu meringankan beban kewangan mereka. – Suara Timur

banner

Tinggalkan komen