Home NasionalTrend penyalahgunaan dadah di Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis membimbangkan – Saifuddin Nasution

Trend penyalahgunaan dadah di Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis membimbangkan – Saifuddin Nasution

oleh suara timur

BENTONG: Seramai 130,307 penagih dadah direkodkan di negara ini sehingga Jun lalu, dengan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis mencatatkan trend penggunaan serta penyalahgunaan dadah yang membimbangkan kerana melebihi nisbah nasional.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, empat negeri berkenaan mencatatkan kadar lebih tinggi berbanding nisbah nasional ketika ini ialah 381 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

“Berdasarkan nisbah berkenaan, Terengganu mencatatkan 735 kes salah guna dadah bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Kelantan (694 orang), Kedah (669 orang) dan Perlis (646 orang), semuanya mengatasi nisbah nasional.

“Berdasarkan profil penagih, golongan berusia 15 hingga 39 tahun menjadi kumpulan paling ramai terbabit, manakala tahap pendidikan pula, majoritinya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah.

banner

“Kalau kita kait dengan pekerjaan, angka paling tinggi adalah tidak bekerja diikuti bekerja sendiri dan ketiga bekerja swasta,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Projek Siap bagi Membina, Meroboh serta Menaiktaraf Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karak, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh.

Saifuddin berkata, dadah jenis amphetamine-type stimulant (ATS) atau dadah sintetik menjadi bahan paling banyak digunakan penagih, merangkumi 84 peratus berbanding dadah lain.

“Data ini bukan sekadar angka, ia menghantar isyarat tersendiri. Sebab itu saya anjurkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) supaya program yang dirancang dan polisi yang dibuat harus berasaskan data,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) terbuka untuk mempergiatkan program kempen, kerjasama dan kolaborasi, termasuk bersama kerajaan negeri, dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah.

Katanya, berdasarkan jumlah 130,307 penagih dan penyalahgunaan dadah, sebanyak 57.9 peratus atau 75,501 penagih direkodkan menerima rawatan dan pemulihan di premis Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) dan Komuniti (RPDK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Pusat Pemulihan Persendirian (PPP).

“Usaha menangani masalah dadah memerlukan kemahuan politik yang kuat dan kerjasama daripada semua pihak kerana isu itu bukan sekadar masalah individu, sebaliknya sudah menjadi masalah negara,” katanya. – Metro

Tinggalkan komen