KEMAMAN: Kehadiran Convo Fest Kolej Universiti TATI (UC TATI) 2026 memberi peluang kepada penduduk sekitar Telok Kalong di sini menikmati suasana karnival bersama keluarga menerusi pelbagai aktiviti yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis lalu.
Terletak di pinggir bandar Kemaman, kawasan itu jarang menjadi tumpuan penganjuran karnival kekeluargaan seumpamanya, sekali gus menjadikan program bersempena Majlis Konvokesyen Ke-26 UC TATI itu sebagai ruang untuk penduduk setempat meluangkan masa bersama insan tersayang.
Selain gerai makanan dan jualan pelbagai produk tempatan, pengunjung turut berpeluang menyertai aktiviti kekeluargaan serta program berbentuk keagamaan, motivasi dan keusahawanan yang melengkapkan pengisian karnival berkenaan.

Bagi Ahmad Fahmi Zuddin, 32, kehadiran bersama isteri dan dua anaknya yang masih kecil memberi peluang kepada mereka menikmati aktiviti bersama di luar rutin harian, selain mewujudkan ruang untuk anak-anak merasai pengalaman baharu.
“Faktor jarak dan masa komitmen kerja memberi kekangan untuk kami mencari aktiviti kekeluargaan yang kami semua boleh turut serta. Walaupun aktiviti ini mungkin dilihat ringkas, kami semua tetap gembira untuk turut sama sertai. Yang penting, anak-anak kami teruja untuk turut sama di sini,” katanya.
Isterinya, Sharifah Nur Atiyah, yang merupakan suri rumah sepenuh masa, pula menyifatkan pengisian sehingga waktu malam memberi lebih banyak ruang kepadanya untuk hadir bersama keluarga mengikut kesesuaian masa.

“Sebagai suri rumah sepenuh masa, saya lebih selesa untuk hadir pada waktu malam yang dilihat lebih santai berbanding pada siang hari yang saya perlu menguruskan urusan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program, Kamrol Amri Mohamed berkata, penganjuran sempena konvokesyen kali ini tampil berbeza daripada edisi terdahulu apabila lebih banyak ruang disediakan untuk membolehkan penduduk sekitar turut merasai kemeriahan acara berkenaan.
Katanya, langkah itu juga mencerminkan usaha UC TATI untuk mendekati komuniti setempat, khususnya penduduk kampung berhampiran yang tinggal berdekatan institusi berkenaan sejak ia mula bertapak di kawasan itu.
“UC TATI telah bertapak hampir 33 tahun di sini dan kami mengambil peluang sempena majlis konvokesyen untuk mengeratkan lagi silaturahim dengan penduduk mahupun komuniti setempat, khususnya penduduk kampung berhampiran,” katanya yang juga Pengurus Jabatan Pengurusan Strategik dan Kualiti UC TATI.
Tambahnya, penganjuran itu turut menjadi platform literasi pendidikan untuk mendekatkan generasi muda, terutama dari kawasan luar bandar, kepada peluang melanjutkan pelajaran serta laluan pendidikan yang boleh diterokai selepas tamat persekolahan.
Majlis Konvokesyen ke-26 UC TATI menyaksikan seramai 380 graduan menamatkan pengajian pada peringkat sarjana dan ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan, sains komputer, reka bentuk grafik serta pengurusan teknologi. – Suara Timur
