Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN : Kegembiraan lima pelajar memancing di sungai berhampiran Kampung Padang Kemunting, Kijal, di sini, semalam berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas.
Seorang murid tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal, di sini, Mohamad Shahrizuan Hafizi Mohamad Azli, 14, meninggal dunia di Hospital Kemaman, kira-kira pukul 7.37 petang.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama empat rakannya berusia 11 hingga 15 tahun keluar memancing di sungai itu kira-kira pukul 11 pagi.
“Ketika sedang memancing, mata kail mangsa telah tersangkut pada kayu yang berada di dalam sungai.
“Mangsa kemudiannya telah turun ke dalam sungai untuk melepaskan mata kail yang tersangkut. Bagaimanapun, mangsa kemudiannya disedari lemas oleh rakan-rakannya yang bergegas meminta bantuan penduduk kampung,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Mohd Razi berkata, salah seorang penduduk kampung bertindak terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa.
“Mangsa telah di bawa ke tebing sungai dan diberi bantuan pernafasan (CPR) oleh penduduk sementara menunggu pasukan penyelamat.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman dengan bantuan penyelamat.
“Bagaimanapun, mangsa kemudiannya menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 7.37 petang dan disahkan oleh pasukan perubatan,” katanya. – Suara Timur