KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan rasuah berkait dana Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
AGC dalam satu kenyataan, hari ini, berkata keputusan itu sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan.
Menurutnya, ia selaras kuasa serta budi bicara Peguam Negara bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.
Katanya, keputusan diambil berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan kepastian dan ketelusan sistem keadilan jenayah.
Susulan keputusan DNAA itu, AGC berkata, siasatan lanjut dan terperinci dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan.
Ini termasuk perkara dibangkitkan melalui enam representasi dikemukakan kepada AGC selepas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO dipanggil untuk membela diri.
“Selepas meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu diperolehi hasil siasatan lanjut dan penelitian terbabit, AGC berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan, mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi semua pertuduhan berkenaan.
“Penelitian ini dibuat dengan turut mempertimbangkan skop dan fokus siasatan peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan difailkan.
“Pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian dan kecukupan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan.
“Langkah siasatan dan terperinci yang kemudiannya dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks serta keterangan baharu kes.
“Dapatan hasil siasatan merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan berkenaan dari semasa ke semasa,” katanya.
Media sebelum ini, melaporkan permohonan semakan kehakiman difailkan di Mahkamah Tinggi berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023, yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid.
Permohonan semakan kehakiman itu membangkitkan isu berkaitan kemajuan dan hasil siasatan yang dirujuk ketika permohonan DNAA berkenaan dibuat.
Pada Disember lalu, AGC dilapor menegaskan keputusan memohon DNAA Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, dibuat selaras peruntukan undang-undang.
Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan AGC ingin memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.
Media sebelum ini melaporkan siasatan masih berjalan dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, menjadi asas keputusan Mahkamah Tinggi untuk menolak permohonan Ahmad Zahid supaya dibebaskan sepenuhnya daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya. – Metro
