Mahkamah dan Jenayah

Suami isteri dituduh subahat salah guna harta syarikat bernilai RM56,000

KUALA TERENGGANU: Pasangan suami isteri yang juga bekas pengarah syarikat swasta dan perunding teknologi maklumat (IT) mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan menyalahgunakan harta bernilai RM56,000.

Tertuduh, Nor Atiqah Mohamad Alwi dan Muhamad Fakhrullah Abd Rahim, masing-masing berusia 36 dan 37 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh dengan tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah RM49,000 milik Syarikat A2 Wax Sdn Bhd dengan cara membuat pengeluaran tunai daripada akaun syarikat berkenaan.

Wang itu dikeluarkan melalui cek tunai kononnya bagi tujuan bayaran sewa premis pejabat di Puchong, Selangor, sedangkan alamat premis tersebut adalah kediaman mereka.

Kesalahan berkenaan dilakukan pada 29 Ogos dan 23 November 2021 di sebuah cawangan pejabat yang beroperasi di Jalan Gong Kapas, Kuala Terengganu.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan mengeluarkan wang tunai RM7,000 untuk tujuan serupa pada 31 Januari 2022.

Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan pasangan itu diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan seorang.

Selain itu, mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport, melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 1 hingga 7 haribulan setiap bulan serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen ditetapkan pada 4 November 2025.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Addawiah Mohd Norlee, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Abdul Rahman Ab Razak dari firma Tetuan Mohd Hayyatuddin & Co. – TV3

Related Posts