Mahkamah dan Jenayah

Bas persiaran bawa 36 penumpang rempuh pembahagi jalan

TANJUNG MALIM: Sebuah bas persiaran yang membawa 36 penumpang terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer 392.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, pada Khamis.

Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 3.39 petang itu, kesemua penumpang merupakan warga India manakala pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, bas tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh ketika kejadian berlaku.

“Siasatan awal mendapati bas jenis persiaran yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 41 tahun telah hilang kawalan sebelum terbabas ke bahagian kanan jalan dan melanggar penghadang pembahagi lebuh raya.


“Kenderaan itu kemudian memasuki longkang,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Menurut beliau, kesemua penumpang yang terdiri daripada 32 lelaki dan empat wanita telah dipindahkan ke sebuah bas gantian bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

“Keadaan struktur jalan ketika kejadian adalah lurus dan cuaca dilaporkan baik,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di laman sosial Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati bas berkenaan telah ditunda keluar dari lokasi kemalangan pada jam 6.33 petang.

Insiden selesai sepenuhnya pada jam 7.10 malam dan laluan telah dibuka semula kepada pengguna. – Sinar Harian

Related Posts