Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN : Seorang pelajar lelaki di sebuah pusat tahfiz di daerah ini, cedera di bahagian kiri dahinya, dipercayai ditampar wardennya selepas memakan beberapa keping roti tanpa kebenaran, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian itu berlaku di pusat tahfiz itu kira-kira pukul 3.45 petang, pada 26 April.
“Mangsa yang berusia 16 tahun mendakwa dia telah ditampar beberapa kali oleh suspek pada bahagian muka semasa berada di dalam bilik asrama kerana dia telah memakan roti yang disimpan untuk sarapan keesokkan hari tanpa kebenaran dan dia telah melanggar peraturan.
“Roti yang dimakan adalah roti keping yang masih dalam bungkusan diletakkan di tempat simpanan makanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Razi berkata, mangsa telah membuat laporan polis kira-kira pukul 9.50 pagi keesokan harinya dan telah mendapat rawatan di Hospital Kemaman.
“Laporan pemeriksaan awal perubatan mangsa telah diperolehi dan kita juga telah mengambil keterangan suspek yang berusia 41 tahun.
“Suspek telah dilantik menjadi warden di tahfiz itu sejak Disember tahun lalu,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – Suara Timur