Home Mahkamah dan JenayahPeniaga rugi lebih RM800,000 diperdaya ‘phone scam’

Peniaga rugi lebih RM800,000 diperdaya ‘phone scam’

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga lelaki kerugian sebanyak RM882,920 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon atau phone scam pada Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pada 23 Mac lalu, mangsa yang berusia awal 50-an menerima panggilan telefon daripada suspek lelaki yang menyamar sebagai wakil syarikat takaful.

Menurutnya, suspek mendakwa nama mangsa digunakan untuk membuat tuntutan insurans kesihatan palsu di sebuah hospital, namun dinafikan mangsa.

“Panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada rakan suspek yang menyamar sebagai polis, kononnya untuk tujuan laporan secara dalam talian.

banner

“Selain tuntutan insurans kesihatan palsu, mangsa juga kononnya didakwa terbabit dalam kegiatan penggubahan wang haram dan rasuah.

“Bagi menyelesaikan kes itu, mangsa diarah supaya membuka dua akaun bank baharu dan memindahkan semua wang simpanannya ke dalam akaun terbabit untuk tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata, mangsa yang bimbang dikenakan tindakan undang-undang memindahkan semua wang simpanan dari akaun Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Wawasan ke dua akaun bank baharu itu.

Beliau berkata, selain itu suspek juga mengarahkan mangsa supaya tidak menggunakan wang atau membuat apa-apa transaksi daripada akaun bank berkenaan sehingga tempoh siasatan selesai.

“Bagaimanapun, mangsa berasa curiga kerana selepas memindahkan kesemua wang simpanan yang ada, suspek masih mendesak agar beliau terus membuat pindahan wang ke dua akaun bank baharu itu.

“Mangsa kemudiannya bertindak membuat semakan baki dan mendapati terdapat beberapa kali pindahan wang keluar daripada dua akaun berkenaan kepada akaun tidak dikenali dari 29 Mac hingga 4 Mei lalu,” katanya.

Dia yang menyedari ditipu membuat laporan polis pada 12.36 tengah hari semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Metro

Tinggalkan komen