JELEBU – Bedah siasat ke atas mayat warga emas yang ditemukan maut dipercayai tertembak diri sendiri di Kuala Klawang, di sini, Rabu lalu mendapati terdapat 158 butir bebola peluru penabur dalam dada si mati.
Ketua Polis Daerah Jelebu, Superitendan Azizan Said berkata, bebola besi itu berasal dari satu kelongsong peluru 12 bore dari senjata buatan sendiri yang menembusi tubuh mangsa berusia 67 tahun.
“Bedah siasat telah dilakukan semalam di Jabatan Forensik Hospital Rembau oleh Pakar Forensik dan telah menemukan 158 butir bebola (ball bearing) daripada satu kelongsong 12 bore di dalam badan simati (bahagian dada) yang menyebabkan punca kematian.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih lagi dijalankan oleh pihak polis dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggangu siasatan pihak polis. Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis menerima panggilan memaklumkan penemuan mayat lelaki warga emas berkenaan dalam keadaan terbaring dan terdapat kesan darah pada badan di kebun duriannya.
Polis turut menemui selaras senjata api buatan sendiri diperbuat daripada kayu berhampiran mayat mangsa. – Kosmo