ALOR SETAR: Setiausaha Akhbar (SUA) Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim mengemukakan permohonan maaf kepada pemilik Kedah Darul Aman (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Permohonan maaf itu dibuat di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman bagi menyelesaikan secara baik kes saman fitnah difailkan Mohd Daud terhadap Muhamad berhubung kenyataan dibuatnya di media sosial pada tahun lalu.
Peguam, Ashraf Sohaimi yang mewakili Mohd Daud selaku plaintif, berkata kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman berkenaan secara baik.
“Kedua-dua pihak iaitu defendan dan plaintif bersetuju dengan terma diberikan, jadi hari ini kes selesai tanpa perlu melalui perbicaraan,” katanya ditemui di Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini, hari ini.
Penyelesaian kes itu direkodkan dalam kamar dan turut disaksikan peguam, Abdul Hadi Ahmad yang mewakili Muhamad selaku defendan.
Pada 20 Januari lalu, media melaporkan kes saman fitnah difailkan Mohd Daud terhadap Muhamad diteruskan selepas mereka gagal mencapai penyelesaian secara baik dalam proses mediasi.
Dalam saman dikemukakan Oktober tahun lalu, Mohd Daud mendakwa Muhamad membuat kenyataan di laman Facebook yang mengandungi fakta tidak tepat berkaitan pemilikan kelab bola sepak KDA FC pada 29 Jun 2025.
Mohd Daud menamakan Muhamad selaku defendan tunggal dan menuntut pampasan, ganti rugi am, teruk serta teladan terhadapnya.
Sementara itu, Muhamad pada prosiding permohonan maaf itu berkata, beliau menarik balik semua kenyataan itu dan memohon mohon maaf tanpa syarat atas segala kesan ketidakselesaaan dan kerosakan ke atas nama baik serta reputasi Mohd Daud akibat kenyataan berkenaan.
Beliau turut memberi aku janji tidak mengulangi kenyataan bersifat sama terhadap Mohd Daud pada masa akan datang sama ada secara langsung atau tidak langsung. – Berita Harian
