KUALA TERENGGANU: Seramai 12 penyokong Selangor FC dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas kesalahan memiliki dan menyalah guna dadah pada Ahad lalu.
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 4, 5 dan 6 April depan bagi menunggu keputusan kimia.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh Muhammad Amirul Izham Anuwa, 26, pada 2 Februari lalu kira-kira jam 9.30 malam bertempat di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, telah memiliki dadah berbahaya yang disyaki Kanabis seberat 1.12 gram (berat kasar).
Oleh itu, tertuduh melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum mengikut akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-dua sekali.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada tarikh, tempat dan waktu yang sama telah ada dalam milikannya dadah berbahaya yang disyaki Nimetazipam seberat 0.37 gram (berat kasar).
Justeru, tertuduh melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut seksyen 12(3) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh di denda tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya.
Kedua-duanya pertuduhan dibaca bersama dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000.
Manakala bagi satu lagi pertuduhan, Amirul Izham berdepan pertuduhan memasukkan dadah di dalam badan.
Mengikut pertuduhan, pada 2 Februari lalu kira-kira jam 3 pagi bertempat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Terengganu, tertuduh memasukkan ke dalam badan dadah, berbahaya disyaki jenis Tetrahydrocannabinol.
Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 38B(1) ADB 1952.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak lebih daripada RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun dan Pengawasan Polis (PS) bagaimanapun bagi kesalahan itu tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000.
Manakala lima lagi tertuduh iaitu Muhammad Akmal Hakim Abd Aziz, 29, Mohamad Alif Aiman Abdullah, 26, Asyraaf Syazwan Azman, 25, Akmal Haqim Amir Hamzah, 25, dan Adam Hakimi Misra, 20, turut berdepan pertuduhan memasukkan dadah di dalam badan.
Mengikut pertuduhan, pada 2 Februari lalu antara jam 2.55 hingga hingga 3.45 pagi bertempat di pejabat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, telah memasukkan ke dalam badan dadah berbahaya disyaki jenis Tetrahydrocannabinol.
Oleh itu, kelima-lima tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum mengikut seksyen 15(1) akta yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 38B(1) ADB 1952.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak lebih daripada RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun dan PS tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Semua tertuduh diikat jamin RM2,000 sementara menunggu keputusan kimia.
Sementara di mahkamah berasingan enam lagi tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,500 oleh Majistret Noor Mazrinie Mahmood dan tarikh sebutan semula pada 30 April depan.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Shafirul Hisham Hassan, 26, Muhamad Syafiq Junaedi, 27, Ahmad Naqiuddin Ahmad Nordzri, 29, Ahmad Ziyad Zulkifli, 26, Muhammad Afiq Haikal Gunawan, 27, pada 2 Februari lalu kira-kira jam 12.30 tengah malam hingga 3.20 pagi di perkarangan IPK Terengganu, telah memasukkan ke dalam badan dadah berbahaya disyaki jenis Tetrahydrocannabinol.
Justeru, semua tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum mengikut seksyen 15(1) akta yang sama dan dibaca bersama dengan seksyen 38B(1) ADB 1952.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibaca secara berasingan terhadap semua tertuduh. – Metro
