Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN – Bagi melahirkan generasi pelapis bola sepak Terengganu, Komuniti Kampung Paya Berenjut dekat sini telah menubuhkan Akademi Budak Kampung FC pada Januari 2024 yang lalu.
Pengerusiya, Ustaz Mohd Johari Othman berkata, penubuhan akademi itu bertujuan melatih dan mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan bola sepak tempatan dan memberi peluang kepada kanak kanak yang berusia 8 tahun hingga 16 tahun untuk belajar asas bola sepak, membina disiplin diri, dan memupuk semangat kesukanan dalam persekitaran yang positif dan menyeronokkan.
“Modul latihan yang terancang dan sesuai dengan peringkat umur dikendalikan oleh jurulatih yang berpengalaman yang mampu membina keyakinan diri dan disiplin anak-anak serta kemahiran asas, taktikal permainan, kecergasan, dan kerja berpasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara Timur selepas Majlis Perasmian Akademi Budak Kampung FC dan Gimik Penyerahan Jersy serta Sijil Penyertaan bertempat di Padang Bola Kampung Paya Berenjut di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Mesyuarat Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) merangkap Setiausaha Majlis Tindakan Dun (MTD) Cukai, Ahmad Eksan Razali.
Mohd Johari yang juga merupakan kakitangan Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), Bahagian Intergriti dan Pemantuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman berkata, selain latihan bola sepak, peserta akademi turut program Qiamulail sebulan sekali, program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) setiap dua minggu sekali, program motivasi tiga bulan sekali dan program dakwah rumah ke rumah mengajak remaja ke masjid.
Pada majlis tersebut seramai 17 orang peserta yang berusia bawah 16 tahun (U16) menerima sijil penghargaan apabila mendapat naib johan dalam pertandingan Putrajaya FA Academy Cup 2025 yang berlansung Padang Presint 4 Putrajaya pada 3 Ogos lalu.

Ujar Mohd Johari, Akademi Budak Kampung FC telah didaftarkan sebagai badan sukan dibawah Seksyen 17 Akta Pembangunan Sukan 1997 pada 21 Julai lalu dengan nombor pendaftaran C-TRG-16232 dengan nama BK FOOTBALL CLUB.
BK Football Club mempunyai 150 orang peserta bermula 8 tahun (20 orang), 10 tahun (30 orang), 12 tahun (40 orang), 14 tahun (20 orang dan 16 tahun (40 orang).

Mereka menerima bimbingan daripada enam orang jurulatih yang diketuai Mohd Ikhwan Hadi Idris.
“Hala tuju masa depan Akademi Budak Kampung FC adalah mendidik disiplin anak anak bermula dengan latihan bola sepak, mewujudkan suasana yang sihat serta mengelakan anak anak bermain gajet. Anak anak yang menyertai akademi juga diwajibkan mengikuti program qiamulail sebulan aekali dan mengikuti kelas KAFA,” ujarnya. – Suara Timur