Negeri

KMI Healthcare lancar Hospital Mesra Ibadah

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KUALA TERENGGANU: Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) hari ini melakar satu lagi pencapaian penting dalam industri penjagaan kesihatan negara dengan pelancaran Hospital Mesra Ibadah (HMI), sebuah inisiatif yang menekankan gabungan rawatan moden dan pemeliharaan nilai spiritual.

KMI Healthcare dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, Hospital Mesra Ibadah adalah komitmen KMI Healthcare dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang bukan sahaja memberi fokus kepada rawatan fizikal, tetapi turut memelihara kesejahteraan rohani, emosi dan mental pesakit.

Majlis pelancaran dan perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu merangkap Pengerusi KMI Kuala Terengganu Medical Centre (KMIKT), Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi di sini, hari ini.

DR Muhammad Khalil Abdul Hadi (tengah) melakukan gimit pelancaran pelancaran Hospital Mesra Ibadah sambil diperhatikan
Najman Kamaruddin (kiri) dan Dr Rayney Azmi Ali (kanan) di Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin.

Konsep ini dirangka bagi memastikan pesakit, keluarga, dan warga kerja hospital dapat merasai suasana yang tenang, bersih, mesra dan mendukung keperluan ibadah, tanpa mengira latar belakang agama.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr. Rayney Azm i Ali berkata, inisiatif ini telah dibangunkan sejak tahun 2021 dan diperkemaskan melalui pelbagai usaha strategik. Hospital Mesra Ibadah mencerminkan kepercayaan kami bahawa rawatan terbaik bukan sahaja merawat jasmani tetapi juga menjaga kesejahteraan rohani.

“Usaha ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila KMI Healthcare memenangi Healthcare Asia Awards 2023 bagi kategori Patient Care Initiative of The Year dan Service Delivery Innovation Initiative of The Year,” katanya.

Dari kiri,  Dr Rayney Azmi Ali, Najman Kamaruddin dan Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (tengah) bergambar selepas majlis pelancaran Hospital Mesra Ibadah di Kuala Terengganu, hari ini.

Bagi memastikan pematuhan prinsip Syariah yang menyeluruh, beliau menambah, KMI Healthcare turut menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dalam membangunkan Rangka Kerja Hospital Patuh Syariah.

Selain itu, katanya, persediaan sedang giat dijalankan untuk memperoleh pensijilan MS ISO 1900:2014 – Standard Malaysia bagi Sistem Pengurusan Kualiti Berteraskan Syariah, menjadikan hospital-hospital KMI sebagai rujukan dalam perkhidmatan kesihatan berasaskan Syariah di Malaysia dan rantau ini.

Sementara itu, Muhammad Khalil menegaskan, pendekatan HMI ini selaras dengan prinsip Maqasid Syariah yang menekankan pemeliharaan agama (hifz al-din), nyawa (hifz al-nafs) dan akal (hifz al-‘aql).

“Apabila pesakit diberi ruang untuk menunaikan ibadah dengan selesa, ia bukan sahaja mempercepat proses pemulihan, malah memberi ketenangan jiwa kepada pesakit dan keluarga mereka.

“Konsep ini juga tidak membelakangkan agama lain dengan penyediaan kemudahan khas seperti bilik senyap (silent room) untuk penganut agama lain menunaikan ibadah,” katanya.

Jelasnya, Hospital Mesra Ibadah menjadi mercu tanda baharu bagi KMI Healthcare dalam menggabungkan kecanggihan perubatan moden dengan nilai-nilai ihsan, empati, dan hormat kepada semua lapisan masyarakat.

“Usaha ini juga diharap dapat menjadi model rujukan bagi hospital lain di seluruh negara dalam memperluas perkhidmatan kesihatan yang berteraskan rahmatan lil ‘alamin – rahmat untuk sekalian alam,” ujarnya. – Suara Timur

Related Posts