Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman akan membuat penutupan jalan secara kekal dan berperingkat di beberapa kawasan bagi melancarkan perjalanan sempena Tour Gateh D’Tranung 2025 di daerah ini, Khamis depan.
IPD Kemaman dalam satu kenyataan kepada media berkata, perlumbaan Tour Gateh D’Tranung bagi peringkat 4 di daerah ini melibatkan penutupan jalan secara kekal bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang di Jalan Padang hingga Simpang Pejabat Agama Daerah Kemaman dan Jalan Melor (hadapan Wisma Persekutuan Kemaman).
Sementara itu, penutupan jalan secara berperingkat akan dilaksanakan pada pukul 10 pagi hingga 4 petang.

Antara jalan yang terlibat seperti, Bandar Chukai – Stesyen Bas Chukai – Jalan Jakar – Jalan Geliga, Jalan Mak Lagam – Jalan Jerangau/Jabor, Jalan Chukai – Air Putih, Jalan Paman – Jalan Ibok, Jalan Payoh -Air Jernih, Jalan Semayor – Kampung Chabang, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan.
Turut ditutup secara berperingkat Jalan Lama Kijal hingga Lampu Isyarat Eastern Steel dan dari Lampu Isyarat Eastern Steel hingga Lampu Isyarat Enjin Gergaji.
Pengguna yang ingin ke Kuala Terengganu, mereka boleh menggunakan laluan alternatif Bandar Chukai – Lampu Isyarat Mak Chili – Jalan Rahmat (Lot 144) – Jalan Pengkalan Sir – Bukit Kuang / Dungun.
Bagi mereka yang datangnya dari Kuantan, mereka dinasihatkan mengguna laluan Kuantan / Geliga – Lampu Isyarat Sekolah Menengah Chukai – Jalan Bukit Mentok – Lampu Isyarat PSM – Binjai / Tol Chukai Atau Jalan Mak Chili – Ibok – Dungun.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli menasihati pengguna jalan raya agar merancang perjalanan dan mematuhi arahan yang diberikan oleh pegawai polis bertugas dari masa ke semasa demi memastikan kelancaran lalulintas.
Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di talian 09-8591999. – Suara Timur
