Negeri

Pengguna dakwa bil air naik sekali ganda di Terengganu

KUALA TERENGGANU – Tular di media sosial rungutan segelintir pengguna di Terengganu yang mendakwa bil air mereka pada bulan lalu meningkat hampir sekali ganda berbanding bulan sebelumnya.

Penduduk Kampung Pak Katak, Kuala Nerus, Kamas Mat Zin, 73, mendakwa, sebelum ini beliau hanya membayar sekitar RM50 hingga RM60 sebulan tetapi bil terbaharu diterima melebihi RM100.

“Daripada bil yang saya dapat, ada tunggakan bayaran dalam RM20. Bila saya semak semula, bil air naik sekitar RM30 sedangkan kuantiti penggunaan air sama sahaja, tidak banyak beza.

“Walaupun guna air macam biasa, bil naik hampir sekali ganda. Saya dan keluarga memang pelik dan agak terkesan juga dengan kenaikan ini,” katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Senada dengan Kamas, seorang penduduk Bukit Tunggal, Shahariman Manaf, 52, berkata, bil air yang diterimanya kali ini melonjak dan keadaan itu mengejutkan mereka sekeluarga kerana tidak pernah dikenakan caj setinggi itu sebelum ini.

“Bil air rumah saya pada bulan lepas naik mendadak dan saya memang terkejut bila tengok jumlah bil yang perlu dibayar.

“Sebelum ini tak pernah lagi bayaran bil saya mencecah jumlah itu,” katanya

Sementara itu, menjengah ruangan komen di media sosial, beberapa pengguna turut berkongsi mengalami situasi sama.

Sementara itu, menjengah ruangan komen di media sosial, beberapa pengguna turut berkongsi mengalami situasi sama.

Seorang pengguna, Rashidah Adnan memberitahu, dia tidak terlepas daripada berdepan situasi tersebut dan mengakui kadar baharu dikenakan itu begitu membebankan rakyat.

Katanya, pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) perlu memberi penerangan terperinci berhubung kenaikan mendadak bil air di negeri itu.

“SATU perlu telus dan jelas maklumkan struktur tarif sebenar agar rakyat faham. Jangan sembunyikan fakta sebab rakyat berhak tahu,” tulisnya menerusi ruangan komentar dalam hantaran grup media sosial, Greater Terengganu Development baru-baru ini.

Selain itu, seorang lagi pengguna, Shaiful Bahri turut berkongsi kenaikan bil air miliknya.

Katanya, penggunaan airnya hanya bertambah dua meter padu (m²) daripada 33m³ pada Julai (RM35.64) kepada 35 m³ pada Ogos (RM62.66), tetapi caj meningkat hampir 80 peratus.

Sementara itu, pemilik akaun Facebook, Wan Shukri pula membandingkan kadar caj di negeri lain yang didakwa lebih murah berbanding Terengganu.

“Di Pulau Pinang, penggunaan 40m³ baru dikenakan 62 sen manakala lebih 30 m³ hanya RM1.17 sen. Jauh beza dengan Terengganu,” tulisnya.

Sebelum ini, Greater Terengganu Develonment dalam hantarannya turut mendakwa secara purata caj air di Terengganu meningkat 20 peratus dan hanya setahun kemudian dinaikkan sekali lagi dengan kadar lebih sekali ganda, khususnya bagi penggunaan melebihi 20m².

“Sebagai contoh, sebuah keluarga yang menggunakan 50 meter padu air sebulan hanya membayar RM33.15 pada 2018. Pada 2024, bil naik kepada RM40.25 dan bulan lalu melonjak kepada RM72.30.

“Kenaikan ini bermakna keluarga terbabit membelanjakan tambahan sekitar RM470 setahun berbanding 2018, sekali gus menambah beban kos sara hidup rakyat yang berdepan kekurangan peluang pekerjaan berkualiti di Terengganu,” tulisnya.

Untuk rekod, bermula Ogos lalu kadar tarif air bagi pengguna domestik di Terengganu dinaikkan sebanyak lapan sen setiap meter padu bagi penggunaan sehingga 20 m³ sebulan, menjadikan caj minimum baharu RM6.60 sebulan.

Bagaimanapun, difahamkan subsidi air untuk isi rumah B40 sebanyak 20m³ sebulan masih lagi dikekalkan. – Sinar Harian

Related Posts