MARANG: Penerangan UMNO Marang (PUMAR) mendakwa kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar gagal menyelesaikan isu longgakan sampah termasuk di Marang setelah tujuh tahun menerajui negeri ini.
Berdasarkan catatan di Facebook PUMAR, menyatakan bacaan terkini jumlah penduduk Parlimen Marang dianggarkan 162,000 orang.
Katanya, jika SWCorp menotakan penghasilan sampah setiap hari oleh seorang penduduk sebanyak 1.17 kg, bermakna dalam sebulan hampir 5700 tan sampah penduduk Marang hasilkan.
“Bagi kami, rakyat biasa. Bukanlah isu kekerapan kutipan sangat yang menjadi dasar punca. Tetapi, saiz tong sampah yang kecil dan tidak mesra penguna menyebabkan lambakan timbunan sehingga ke luar.
“Sangat jarang apabila kutipan sampah di buat, kawasan tersebut dibersihkan kembali kepada keadaan asal. Seringkali dibiarkan air kotor, sisa dan punca pencemaran bau tersebut begitu sahaja oleh petugas,” tulis PUMAR.
Tambahnya lagi, timbunam sampah itu dibimbangi hadir penyakit berjangkit, dan baharulah pemimpin negeri dan wakil rakyat sibuk nak tunjuk “kerja”.
“Sekali lagi PUMAR ingatkan kepada penguasa negeri, Terengganu ini “Negeri Cantik, Budaya Menarik”.
“Namun, jika sepanjang perjalanan ke destinasi, sapaan lazim yang pelancong terima hanyalah bauan busuk dan pencemaran mata.
“Maka akhirnya, salah satu memori pelancongan yang mereka sebarkan ke kampung halaman nanti juga ialah – Terengganu KOTOR,” tambah PUMAR. – Suara Timur