EPIC Berhad bantu 300 murid kurang berkemampuan
KEMAMAN : Anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) memperuntukkan kira-kira RM75,000 untuk program ‘Epic Back to School 2025’ bagi tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Epic Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, program itu memberi manfaat kepada kepada 300 murid yang kurang berkemampuan di seluruh negeri.
“Program ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang bertujuan membantu menyediakan keperluan asas kepada murid-murid kurang bernasib baik bagi menghadapi sesi persekolahan baharu ia sekali gus meringankan beban keluarga mereka.
“Usaha ini seiring dengan komitmen EPIC Berhad dalam memperkasa sektor pendidikan sebagai asas kepada pembentukan masa hadapan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program ‘Epic Back to School’ di Teluk Kalong, di sini, baru-baru ini.
Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris.
Mukhtar berkata, setiap murid akan menerima baucar persiapan sekolah bernilai RM200.
“Setakat ini, kita telah agihkan bantuan ini kepada 200 murid melalui dua siri program iaitu siri pertama telah diadakan di Kuala Terengganu dan siri kedua hari ini di Kemaman. Insya-Allah, selepas ini kita akan adakan program di Jabi, Besut melibatkan 100 lagi murid,” katanya.
Sementara itu, Razali berkata, kerajaan negeri melalui pelbagai agensi dan organisasi kerajaan akan terus membantu golongan ini bagi memastikan tiada murid yang tercicir dalam pendidikan. – Suara Timur