KUALA TERENGGANU: Tragedi menimpa sekumpulan pencandat sotong apabila bot yang mereka naiki karam kira-kira sembilan batu nautika dari Dataran Kuala Nerus, malam tadi sehingga mengorbankan seorang kru bot.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 9 malam tadi, bot yang membawa 12 individu termasuk tekong dilaporkan karam ketika berada di tengah laut.
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Ahmad Nasaruddin Mohmad Jalil, 36, iaitu kru bot berkenaan.
“Selain seorang yang disahkan meninggal dunia, tiga individu cedera manakala lapan lagi penumpang bersama tekong bot terselamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Azli, sebaik menerima laporan jam 9.02 malam, operasi mencari dan menyelamat digerakkan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Mayat mangsa dibawa ke Jeti Tok Batin, Seberang Takir sebelum dihantar ke Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) untuk bedah siasat.
“Ketiga-tiga mangsa yang cedera pula dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya. – Berita Harian
